KOTA BHARU – PAS berpendapat sudah sampai masanya satu akta atau undang-undang baharu diwujudkan bagi mencegah mana-mana anggota Parlimen dan anggota dewan undangan negeri melompat parti.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata selagi akta itu tidak diwujudkan, ia menimbulkan banyak masalah apabila wakil rakyat bertindak keluar parti sekali gus, mengkhianati amanah rakyat yang memilih mereka.
“PAS sudah lama mahu akta begini diwujudkan dan kita mahu mana-mana wakil rakyat yang melompat parti secara automatiknya mereka hilang kelayakan menjadi wakil rakyat dan perlu adakan semula pilihan raya kecil.
“Ini untuk menjaga amanah rakyat yang memilih mereka dan untuk mengelakkan berlakunya masalah yang lebih besar, seperti peralihan kuasa pemerintahan,” katanya kepada pemberita selepas Program ‘Back To School’ di sini, hari ini.
Pada program itu, 100 pelajar daripada keluarga susah di Parlimen Kubang Kerian menerima bantuan pakaian sekolah.
Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas isu ‘penghijrahan’ ramai pemimpin UMNO yang terdiri anggota Parlimen dan ADUN keluar parti dan menyertai parti lain.
Mengulas isu itu selanjutnya, beliau berkata PAS mempelawa mana-mana mereka yang keluar parti itu untuk menyertai PAS jika benar mereka menjadikan alasan untuk memperkuatkan Melayu dan Islam.
“PAS memang terkejut dengan keadaan yang berlaku pada UMNO ini dan ia perkara yang pernah berlaku dalam PAS dan kita harapkan akan ada jalan penyelesaian buat UMNO dan pada masa yang sama kita tidak akan mencampuri urusan parti lain,” katanya.
Semalam, enam anggota Parlimen daripada UMNO mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Mereka ialah Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) ; Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing).
— BERNAMA