SEOUL- Korea Utara terus menggali terowong di tapak ujian nuklearnya yang berupaya menahan letupan sebanyak 14 kali lebih kuat daripada ujian terakhir, menurut analisis Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Imej satelit tapak ujian nuklear, Punggye-ri, di timur laut menunjukkan penggalian terowong yang besar dilakukan secara berterusan di Portal Utara di mana empat atau lima ujian nuklear bawah tanah dilakukan Korea Utara sebelum ini, menurut analisis 38 North, laman sesawang Institut AS-Korea di Johns Hopkins University.
“Penggalian terowong secara berterusan di bawah Gunung Mantap menerusi Portal Utara berpotensi untuk membenarkan Korea Utara melakukan ujian nuklear tambahan dengan letupan yang lebih kuat, mungkin sehingga 282 kilo tan (atau mungkin lebih sedikit suku mega tan),” menuurt artikel yang ditulis oleh penganalisis Frank Pabian, felo Los Alamos National Laboratory (LANL) dan David Coblentz, pakar sains bumi dan alam sekitar di LANL.
Korea Utara melancarkan ujian nuklear terbaharu pada 9 September 2016, dengan jangkaan kekuatan antara 15 hingga 20 kilo tan. Satu kilo tan bersamaan 1,000 tan TNT (ukuran tenaga yang dibebaskan daripada letupan).
Mereka berkata, selepas ujian itu, aktiviti terowong baharu hanya dipantau di Portal Utara manakala aktiviti membuat terowong dan portal lain sama ada dikurangkan atau diberhentikan, lapor Yonhap.
“Ini mencadangkan bahawa Portal Utara kemungkinan besar terus digunakan sebagai lokasi ujian utama, kemungkinan kerana ia berkeupayaan menahan letupan yang lebih kuat sehingga suku mega tan,” kata mereka.