Home Nasional Dr Zulkefly tidak takut hilang undi kerana larangan merokok

Dr Zulkefly tidak takut hilang undi kerana larangan merokok

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

IPOH – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan beliau tidak bimbang akan kehilangan undi pada pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) tahun depan susulan cadangan larangan merokok di premis makanan yang dikeluarkan kementerian itu.

Pengarah Strategi Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah itu berkata, beliau akan tetap menjalankan tugas serta tanggungjawabnya, dan cadangan yang dianggap dianggap ‘tidak popular’ itu tidak akan berubah.

“Ada sahabat yang menegur saya mengatakan tahun hadapan, tahun pemilihan (parti), saya tidak akan dapat undi mereka… tak apa. Biar saya kalah atas mendirikan prinsip menjamin kesihatan rakyat,” katanya ketika sesi penggulungan pimpinan nasional di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sini hari ini.

Dr Dzulkefly yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata sejak diamanahkan memegang jawatan Menteri Kesihatan, beliau berhasrat menambah baik perkhidmatan kesihatan negara.

“Statistik sekarang menunjukkan nisbah satu doktor kepada 630 penduduk, yang sewajarnya sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan ekonomi, kita sepatutnya ada satu doktor kepada 430 penduduk.

“Dengan 1.9 katil kepada 1,000 penduduk, kita masih jauh lagi untuk memenuhi segala bekalan fasiliti kesihatan, hospital dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette