Home Politik Nasib UMNO bagai buah semangka

Nasib UMNO bagai buah semangka

UMNO
UMNO hari ini menafikan dakwaan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – UMNO yang diumpamakan sebagai buah durian – raja buah suatu ketika dulu kerana berjaya melakar sejarah kekuatan dan kebijaksanaan Melayu, kini nasibnya tidak ubah seperti buah semangka (tembikai).

Ia bukan sahaja sudah tidak berbau tetapi sangat lemah bergolek hancur, digolek pun hancur.

Datuk Seri Mohamad Khir Toyo berkata, lebih malang lagi apabila nasib parti itu kini bukan ditangan pemimpin UMNO lagi tetapi ditangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Menteri Besar Selangor berkata, Dr Mahathir yang sangat berpengaruh dalam UMNO sehingga setiap pelantikan Presiden parti itu adalah hasil strategi politik beliau.

Tetapi pada hari ini, Dr Mahathir mahu parti itu berkubur dan giat memperkukuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), justeru beliau tidak lagi menentukan kepimpinan UMNO.

Disebabkan itu, pengaruh Anawar kembali dalam UMNO.

“Hari ini kedua pemimpin yang telah berseteru sekian lama ini, masing masing meletak tangan dalam UMNO, mereka perlu mendapat kekuatan UMNO bagi memastikan siapa yang akan menjadi manusia paling berkuasa di bumi bertuah ini.

“Pertembungan dua pemimpin ini hampir sampai ke penghujungnya, nasib UMNO juga akan bergantung kepada siapa yang berjaya dalam pertembungan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Khir menambah, jika Dr Mahathir yang berjaya, maka UMNO akan berkubur dan diganti dengan PBBM yang mempunyai tujuan dan matlamatnya sama dengan UMNO.

Katanya, Dr Mahathir kan melahirkan UMNO baharu dengan nama dan semangat baharu dan melupakan sejarah UMNO yang panjang.

Seandainya, Anwar yang berjaya, Khir meramalkan UMNO akan kekal hidup tetapi memainkan peranan yang berbeza.

Bahkan dengan kesungguhan ahli-ahli yang ingin berubah, UMNO diyakini mampu bangkit semula meskipun jalannya penuh liku dan panjang sekali.

“Bagai buah semangka, bila ada orang dahaga semangka lebih nilainya dari durian. Bila panas terik, semangkalah jadi pilihan.

“Sungguhpun begitu nasibmu ditangan dua buah durian yang sedang menghimpit dan memikatmu,” kata Khir penuh makna. – MalaysiaGazette