Home Ekonomi Aliran masuk dana asing dijangka bertambah baik

Aliran masuk dana asing dijangka bertambah baik

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Aliran masuk dana asing dijangka bertambah baik pada minggu-minggu berikutnya seperti yang ditunjukkan melalui kemasukan sebanyak RM123.3 juta dana asing pada Khamis, kemasukan tertinggi sejak 8 November.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata, kemasukan yang tinggi juga membantu menurunkan aliran keluar bersih dana asing minggu lalu sebanyak RM181.1 juta sehingga Khamis.

Mengatakan bahawa ini mungkin petunjuk dana asing melihat Malaysia dengan lebih positif, beliau menambah, lebihan akaun semasa negara yang konsisten membantu terhadap sentimen yang kukuh ini.

“Mereka menyedari bahawa Malaysia adalah satu daripada beberapa pasaran pesat membangun yang secara konsisten merekodkan lebihan akaun semasa. Sejak 20 tahun lepas, kita tidak merekodkan sebarang defisit akaun semasa, bermakna bahawa kita hidup dengan baik sesuai kemampuan kita, tidak terlebih belanja dan tidak terlebih import,” katanya kepada Bernama.

Pong juga berkata bahawa, pelabur tidak terkesan dengan perkembangan semasa yang menyelubungi Tabung Haji (TH) dan tidak mengurangkan pendedahan kepada pasaran ekuiti kerana melihat pasaran secara keseluruhan.

Bagaimanapun katanya, cadangan TH untuk menjual pegangannya, terutama dalam kaunter bermodal kecil akan memberi impak besar kepada pasaran ekuiti tempatan dan menjejaskan sentimen dalam kalangan pelabur tempatan.

“Melihat kepada saiz dana mereka, ia mungkin sebesar RM10 bilion nilai saham yang akan dijual di pasaran,” katanya.

Pong berkata, disebabkan sentimen dalaman dan luaran yang berhati-hati, aktiviti meningkatkan penampilan prestasi dana dijangka hanya akan bermula akhir bulan ini.

“Saya tidak berani mengatakan bahawa apa-apa usaha meningkatkan penampilan prestasi yang diterajaui oleh dana tempatan sudah dimulakan, kerana tidak terdapat bukti yang konsisten kenaikan FBM KLCI, sebaliknya pada hari di mana pasaran global secara keseluruhan lemah, indeks menurun,” katanya.

TH baru-baru ini mengumumkan bahawa ia bercadang menstruktur semula portfolionya dan mengurangkan asetnya di pasaran saham kepada 20 peratus daripada portfolionya daripada kira-kira 50 peratus pada masa ini.

Lembaga pengarah dana jemaah haji itu juga berkata bahawa, mereka berhati-hati berhubung pegangan dalam saham bermodal kecil dan mahu memberi tumpuan kepada saham hasil dividen.

Untuk masa hadapan, Pong berkata, pasaran akan memantau perkembangan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China

“Pasaran bertindak balas secara asas harian terhadap sebarang pengumuman berhubung perang perdagangan itu,” katanya dan menambah, hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang dijangka pada 18 dan 19 Disember, sedang ditunggu-tunggu bagi mengukur pendirian dasar monetari bank pusat AS.

“Jika Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar faedah atau menunjukkan ke arah itu, dolar US akan mengukuh,” katanya.

Pong juga berkata, mesyuarat itu akan memberikan beberapa petunjuk terhadap langkah seterusnya Rizab Persekutuan AS untuk 2019.

“Secara amnya, pasaran menjangka kadar faedah akan terus meningkat tahun depan,” tambahnya. – MalaysiaGazette