KUALA KEDAH – Perbuatan kejam individu-individu yang menyerang Muhammad Adib Mohd Kassim sehingga meninggal dunia memang sukar dimaafkan.
Bapa saudara anggota bomba itu, Kassim Md Isa, 61, berkata, melihat penderitaan Allahyarham yang terpaksa bertarung nyawa menyebabkan hatinya sakit.
Walaupun marah dan hatinya tercalit dendam, warga emas itu tetap redha dengan kematian Muhammad Adib jika ia terbaik buat anak saudara kesayangannya.
“Macam mana pun kena redha, apa yang terjadi, kuasa Allah,” katanya yang kelihatan sugul sementara menanti ketibaan jenzah anak saudaranya itu.
Kassim menyifatkan Muhammad Adib seorang anak yang baik, tidak pernah lupa tanggungjawab kepada keluarga di kampung.
“Dia selalu balik kampung. Dia baru bercuti sebelum bertugas pada hari kejadian (insiden rusuhan),” katanya dengan suara serak.
Muhammad Adib, 24, adalah anak kedua daripada empat adik beradik.
Kassim berkata, beliau sepatutnya melangsungkan perkahwinannya 22 Disember ini.
Katanya, separuh daripada persiapan perkahwinan sudah separuh disiapkan oleh Allahyarham dan keluarganya.
“Tetapi kini semuanya tidak menjadi kenyataan,” kata beliau. – MalaysiaGazette