Home Nasional Tarif air mungkin naik sedikit tahun depan

Tarif air mungkin naik sedikit tahun depan

Tarif air tidak diselaraskan sejak 20 tahun lalu, oleh itu bayaran untuk bekalan air dan pembentungan  akan mengalami sedikit kenaikan. . foto hiasan FAREEZ FADZIL, 08 MAC 2018

PUTRAJAYA – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan membentang Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air Negara pada tahun depan supaya negeri-negeri dapat merasionalisasi pembekalan air.

Ditanya mengenai kenaikan kadar tarif air, Menterinya, Xavier Jayakumar berkata, kerajaan tidak mungkin menawarkan perkhidmatan percuma selepas jumlah yang besar diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan pembekalan air dan pembentungan.

“Tarif air tidak diselaraskan sejak 20 tahun lalu, oleh itu bayaran untuk bekalan air dan pembentungan  akan mengalami sedikit kenaikan.

“Kami tahu tidak boleh menaikkan harga pada kadar besar, tetapi akan ada sedikit penyelarasan,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Beliau berkata, kerajaan berharap dapat mengurangkan syarikat pembekalan air kepada hanya sebuah di setiap negeri seperti keadaan di Pulau Pinang dan Selangor.

“Jika syarikat bekalan air di Pahang dapat dikurangkan kepada sebuah, kami akan dapat menangani isu bayaran hutang.

“Kelantan juga perlu merombak bekalan airnya yang berpecah-pecah. Kerjasama dengan semua negeri diperlukan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Xavier juga memberitahu bahawa lebih 30 projek yang tidak melalui proses bidaan terbuka telah dihentikan.

“Kami telah mengikut garis panduan Kementerian Kewangan untuk menilai semula projek-projek ini.

“Ada projek yang diluluskan dan ada yang dihentikan,” katanya. – MalaysiaGazette