KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Saifuddin Abdullah menegur netizen yang memanggil peguam parti itu, Latheefa Koya sebagai macai.
Beliau berkata, Latheefa adalah seorang peguam yang telah mewakili ramai pejuang parti di mahkamah.
“Jangan panggil dia macai,” katanya ringkas menerusi Twitter beliau hari ini.
Saifuddin menjawab komen seorang netizen bernama FarkhanYasin yang mempersoalkan teguran Latheefa terhadap Nurul Izzah Anwar yang telah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden dan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang semalam.
FarkhanYasin menerusi hantaran dalam twitternya memberitahu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seorang pemimpin yang terkenal apabila memperoleh jumlah undi terbanyak dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
“Kemenangannya dipilih oleh ahli. Dia patut dilantik (Pengerusi PKR Pulau Pinang).
“Tapi macai (Latheefa) yang mempersoalkannya tidak berani bertanding merebut mana-mana jawatan dalam parti,” katanya.
Peletakan jawatan Nurul Izzah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan tekanan dari ahli PKR, Latheefa yang jelas tidak berpuas hati dengan pelantikan Pengerusi Negeri PKR.
Peguam itu mendakwa, pelantikan berkenaan dibuat berdasarkan puak dan kelompok tertentu. – MalaysiaGazette