Home Dunia PBB akan desak Myanmar selesai krisis Rohingya

PBB akan desak Myanmar selesai krisis Rohingya

NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang mempertimbangkan tindakan untuk mendorong Myanmar bekerjasama dengan badan induk itu dalam menangani krisis Rohingya, walaupun China dan Rusia telah memboikot perbincangan mengenai draf resolusi.

Draf resolusi itu bertujuan untuk meletakkan garis masa kepada Myanmar bagi membenarkan lebih 700,000 pelarian Muslim Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh pulang semula ke kawasan mereka.

Selain itu, Myanmar juga perlu lebih bertanggungjawab, menurut seorang diplomat.

Masyarakat Roghingya telah melarikan diri dari negara Rakhine, Myanmar sejak Ogos tahun lalu selepas diserang oleh pasukan keselamatan.

Serangan itu tercetus selepas pemberontak Rohingya didakwa melakukan tindakan keras ke atas pasukan keselamatan.

PBB, Amerika Syarikat dan Britain menyifatkan tindakan itu sebagai pembersihan etnik namun Myanmar menafikannya.

Ia tidak jelas sama ada bila draf resolusi itu boleh diundi.

Resolusi memerlukan sembilan undi yang memihak dan tiada veto oleh Rusia, China, Amerika Syarikat, Britain atau Perancis untuk meluluskannya.

“Saya rasa ia tidak sesuai, tidak bertepatan dan tidak berguna,” kata Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia.

Duta China, Ma Zhaoxu pula menolak untuk memberi sebarang kenyataan.

Draf itu diedarkan kepada ahli-ahli majlis akhir bulan lalu dan diplomat mengatakan terdapat beberapa pusingan perbincangan.

Rusia dan China menghadiri mesyuarat awal tetapi tidak mengambil bahagian dalam sebarang rundingan lanjut, kata diplomat itu.

Draf itu akan mendorong Myanmar untuk melaksanakan memorandum persefahaman dengan PBB dan agensi pelarian yang ditandatangani oleh Aung San Suu Kyi pada bulan Jun, serta cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Penasihat Rakhine yang diketuai oleh Kofi Annan yang juga bekas pemimpin organisasi tersebut.

Resolusi draf itu tidak termasuk rujukan mengenai keadaan di Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kata diplomat.

Utusan Majlis Keselamatan PBB telah ke Bangladesh dan Myanmar pada akhir April lalu.

Pada bulan Oktober, China yang menyokong Rusia gagal untuk menghentikan taklimat Majlis Keselamatan yang dipengerusikan oleh ketua penyiasatan PBB yang menuduh tentera Myanmar melakukan pembersihan etnik terhadap masyarakat Rohingya. – MalaysiaGazette