KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran keras kepada penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) supaya tidak menyewakan rumah kepada mereka kepada warga asing.
Tengku Adnan berkata pihaknya sudah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memeriksa semua rumah PPR dan PA bagi memastikan penyewa sebenar tidak menyewakan kepada orang lain, malah pemeriksaan akan dijalankan pada waktu malam.
“Saya nak nasihat kepada penyewa-penyewa ini, sekarang ini saya sudah arahkan dewan bandaraya untuk kaji selidik rumah-rumah tuan duduki pada waktu malam, bukan waktu siang.
“Kita akan tanya siapa duduk, kalau yang duduk itu bukan mengikut apa yang tertera dalam senarai DBKL kita akan minta dia keluar,” kata Tengku Adnan semasa merasmikan
program ‘We Care, We Serve Jom Bantu Rakyat’ di Setapak hari ini.
Katanya lagi, penyewa tidak wajar marah sekiranya diambil tindakan tegas itu memandangkan kemudahan yang disediakan di rumah PPR bukan untuk kegunaan pihak sebaliknya ia disediakan untuk mereka yang tidak berkemampuan.
“Jangan marah kerana fasiliti ini untuk rakyat Malaysia, untuk orang kurang berkemampuan bukan untuk kita yang dah mampu pergi sewa tempat lain pindah rumah yang lebih elok, kita masih masih dengan DBKL kita sewakan pula kepada orang asing, Bangla, Indonesia, Myanmar dengan harga RM1,000 ke RM1,500. Sekarang ini, ‘no way’,” katanya.
Menurut Tengku Adnan, pihak DBKL memiliki senarai menunggu hampir 40,000 orang untuk menyewa di rumah PPR dan PA milik DBKL ini.
“Kalau mereka sudah pindah ke rumah lebih baik, beri semula rumah ini kepada DBKL supaya kita boleh berikan kepada yang tidak berkemampuan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Adnan juga berkata sudah menerima arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membaiki fasiliti di rumah PPR dan PA sekiranya terdapat kerosakan seperti cat, lif dan lain-lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette