NEW YORK- Pasaran saham global jatuh pada Selasa apabila para pelabur gusar menantikan keputusan sama ada Rizab Persekutuan akan menaikkan lagi kadar faedah di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran ketika ini dan unjuran ekonomi dunia yang semakin lemah.
Nilai saham tenaga jatuh apabila harga minyak semakin merosot.
Kejatuhan mendadak pasaran ekuiti sejak dua bulan lalu telah menggugat keyakinan pelabur dan menyebabkan banyak pengurus dana menjangkakan pertumbuhan global akan semakin lemah dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Malah, tinjauan masa depan menunjukkan ia adalah paras terburuk dalam tempoh sedekad, demikian menurut kaji selidik pelabur yang dibuat oleh Bank of America Merill Lynch pada Disember.
Indeks saham dunia MSCI jatuh 0.3 peratus. Indeks tersebut telah jatuh sebanyak 10 peratus tahun ini dan dijangka mencatatkan rekod tahun terburuk dalam tempoh satu dekad.
Dow Jones Industrial Average meningkat 82.66 mata atau 0.35 peratus kepada 23,675.64, S&P 500 pula untung 0.22 mata atau 0.01 peratus 2,546.16 dan Indeks Komposit Nasdaq menokok 30.18 mata atau 0.45 peratus kepada 6,783.91.
Indeks penanda aras S&P 500 memulakan dagangan dengan hampir lapan peratus lebih rendah bulan ini.
“Kita mengalami kerugian paling besar sejak 1931 dan ini amat membimbangkan.
“Kita dalam tempoh pertukaran rejim dan berapa besar perubahan tersebut adalah persoalan utama sekarang,” kata Pakar Strategi di firma perkhidmatan kewangan Raymond James, Chris Bailey.
Ucapan Presiden China, Xi Jinping yang ditunggu-tunggu oleh pelabur supaya dapat menaikkan moral dan memberikan impak pasaran, bagaimanapun tidak menyatakan sebarang langkah khusus kepada ekonomi.
Dengan itu, nilai saham China jatuh lebih satu peratus manakala indeks Nikkei pula rugi 1.8 peratus.- Reuters