Home Utama Nak tengok muka orang yang kejam ini, luah ibu Muhammad Adib…

Nak tengok muka orang yang kejam ini, luah ibu Muhammad Adib…

Asma Aziz tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemubual mengenai anaknya, Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di kediamannya di Kampung Tebengau, Jalan Kuala Kedah, Kedah. foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2018
Asma Aziz

KUALA KEDAH – “Nak juga tengok muka-muka orang yang buat semua ini. Nak tengok muka orang yang kejam ini.

“Tapi sekarang siapa nak mengaku kan.”

Air matanya bergenang ketika meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Pasti itulah yang tersimpan di benak fikiran Asma Aziz, 51, sejak mendapat khabar anaknya cedera parah dan terlantar di Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Subang Jaya pada 26 November lalu.

Mustahil untuk dia menidakkan keinginan itu, samalah juga mustahil bagi seorang ibu mahu melupakan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh anaknya selama tiga minggu sehingga menemui noktah jam 9.41 malam Isnin lalu.

Tiada esak tangis, hanya air mata yang bergenang cukup untuk menggambarkan betapa dia memendam sejuta lara biar pun redha takdir menjemput Muhammad Adib terlebih dahulu.

Ketika ditemui pihak media, Asma mengajukan permintaan, tentunya permintaan dari seorang ibu yang mahukan keadilan untuk anaknya. Dia mahu individu yang mengajak orang ramai merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam kejadian itu memikul tanggungjawab sepenuhnya.

Umpama jika tiada angin masakan pokok bergoyang, Asma percaya jika tiada dalang yang menjentik api kemarahan sehingga mendorong orang ramai untuk merusuh, tentunya insiden itu tidak akan berlaku

“Panggil ketua rusuhan itu dulu, itu yang patut, kalau bukan dia yang panggil suruh buat rusuhan mana ada orang nak mai (datang),” katanya dalam nada mendatar tetapi cukup untuk mengungkap kekecewaan yang ditanggung.

Bukan sahaja ibu Muhammad Adib, rakyat Malaysia secara keseluruhannya mahu mengetahui siapa dalang di sebalik insiden yang meragut nyawa penjawat awam yang berada di situ kerana menjalankan tugas.

Suasana di rumah tempat Allahyarham membesar tentulah tidak sama seperti hari-hari biasa di mana kehadiran Allahyarham sentiasa dirasa biar pun bertugas di Subang Jaya.

Allahyarham sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 22 November ini bersama tunangnya Nurul Najihah Mohd Radzi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kad kahwin Muhammad Adib dan Nurul Najihah runtun hati netizen

ARTIKEL BERKAITAN: “Kamu kuat, cepat bangun kamu” – luah tunang Muhammad Adib

Muhammad Adib meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara akibat cedera parah ketika bertugas untuk mengawal beberapa kebakaran yang berlaku dalam rusuhan di kuil Seafield di Subang Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Adib selamat dikebumikan

ARTIKEL BERKAITAN: Terlerai air mata bapa Muhammad Adib

Allahyarham pada mulanya dirawat di SJMC bagaimanapun dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan rapi.

Dia menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam Isnin. Jenazahnya diterbangkan ke Kuala Kedah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah. – MalaysiaGazette