Home Utama Perit terima kematian Muhammad Adib, ibu akui belum sedia ziarah pusara

Perit terima kematian Muhammad Adib, ibu akui belum sedia ziarah pusara

Pusara Muhammad Adib Mohd Kassim di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah.
Pusara Muhammad Adib Mohd Kassim di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah.

KUALA KEDAH – Semalam kelibat Asma Aziz tidak kelihatan di Tanah  Perkuburan Perkuburan Masjid As-Saadah ketika jenazah anaknya Muhammad Adib Mohd Kassim dikebumikan.

Mungkin dia ada ada di situ tetapi terlindung di celah-celah orang ramai yang turut memberi penghormatan terakhir kepada anak kelahiran Kampung Tebengau itu.

Juga hanya kelihatan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid yang menabur bunga mawar dan menyiram air di atas pusara Muhammad Adib sebaik selesai bacaan talkin.

Tunang Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi juga berbuat demikian. Manakala ibu Allahyarham yang sempat dirakam wajahnya ketika jenazah tiba di kampung halaman tidak menabur bunga atau menyiram pusara anaknya itu.

Ketika ditemui wartawan, Asma mengakui dia sememangnya belum bersedia untuk menziarah kubur anaknya itu.

Asma Aziz tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemubual mengenai anaknya, Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di kediamannya di Kampung Tebengau, Jalan Kuala Kedah, Kedah. foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2018
Asma Aziz tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemubual mengenai anaknya, Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di kediamannya di Kampung Tebengau, Jalan Kuala Kedah, Kedah. foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2018

“Kubur pun hari ini saya belum lawat, semalam saya tengok tetapi saya tak tergamak,” katanya sambil menahan air mata daripada tumpah.

Luahan hatinya itu menjawab persoalan mengapa dia tidak begitu kelihatan di tanah perkuburan semalam. Dia hanya memerhati dari jauh lantaran tidak dapat menahan kesedihan kehilangan seorang anak dengan cara yang tidak pernah terpikir akalnya  selama ini. Mungkin juga Asma masih tidak percaya kejadian menimpa anaknya sehingga berakhir di pusara.

Dia juga berkata, ketika ini rutinnya agak terganggu seolah-olah jam hidupnya terhenti seketika malah untuk lena seketika dia tidak mampu.

“Tidur pun tidak, nak tidur pun tak boleh, nak mimpi apa pun tak boleh,” luahnya mungkin mengharapkan akan bertemu Muhammad Adib di dalam mimpi untuk mengubat kerinduan lantaran tiga minggu bertarung nyawa Allahyarham tidak mampu berkata apa-apa.

Asma memberitahu, dia juga tidak tergamak melihat berita-berita biar pun ada yang mahu berkongsi berita mengenai Muhammad Adib dengannya.

“Saya tak gamak nak tengok berita-berita, sebelum ini orang tunjuk, saya tak mahu tengok,” katanya sambil mengesat air mata yang berlinangan.

Muhammad Adib, 24, bagi Asma, adalah seorang anak yang patuh kepada orang tua dan ringan tulang.

Walaupun bekerja di Subang Jaya, namun Allahyarham akan tetap meluangkan masa balik ke kampung meskipun hanya bercuti dua hari demi menolong bapanya di bendang.

“Dia selalu balik, dua hari pun balik. Dia akan tanya ayah dia, “ayah bila nak serak padi? Dia balik memang akan tolong ayah dia di bendang. Memang selalu tolong,” katanya.

Dengan nada sayu, Asma menyimpulkan setelah semua yang terjadi  kini hanya Allah sebagai tempat dia bergantung untuk diberikan kekuatan.

Muhammad Adib meninggal dunia selepas cedera parah dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 26 November lalu. Allahyarham bertarung nyawa selama tiga minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam Isnin. – MalaysiaGazette