Home Nasional Waytha letak jawatan, jangan buat ‘telinga kayu’

Waytha letak jawatan, jangan buat ‘telinga kayu’

Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Tidak perlu berhujah panjang atau memberi sebab, Senator P. Waytha Moorthy mesti ‘ditiadakan’ dari kabinet Malaysia, tegas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Katanya, sudah lebih 300,000 tanda tangan telah dikumpul dalam satu petisyen mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu meletakkan jawatan atau disingkirkan dari barisan kabinet.

“Jika beliau memilih untuk kekal dan buat ‘telinga kayu’, nyata beliau manusia yang benar-benar tidak bermaruah dan tidak ada harga diri langsung. Beliau hanya tembaga karat yang tidak boleh dibuat pameran.

“Ianya juga bermakna selama ini Waytha hanya kejar jawatan dan masyarakat kaum India dijadikan sandaran politiknya.

“Beliau bukan hero kaum India, tapi tindak tanduknya meletakkan masyarakat India sudah mula dipandang hina oleh kaum lain,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sehubungan itu, Ibrahim mendesak pemimpin HINDRAF itu berundur secara sukarela dan tidak meletakkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam keadaan serba salah.

Katanya, jika P. Waytha degil untuk melepaskan jawatan, Mahathir tiada pilihan selain dari mengugurkannya segera dari kerajaan melalui rombakan kecil kabinet.

“Mahathir mesti mempamerkan kepimpinan melalui tauladan yang menjadi pegangannya selama ini.

“Beliau (Waytha) telah mecemar nama baik Malaysia di dalam mahupun di luar negara dan kalau orang Melayu lakukan perkara sama pasti akan dikutuk dan sudah didakwa,” katanya.

Ibrahim berkata, menteri yang kononnya menjaga perpaduan kaum itu juga membuat tuduhan melulu yang jijik sebagai anggota kabinet dengan menuduh polis lambat bertindak apabila berlaku pergaduhan di kuil Sri Maha Marimaman, baru-baru ini dan tuduhan itu menyebabkan kaum India mengamuk sehingga harta benda awam rosak dan seorang anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terkorban.

Jelas beliau, selagi Waytha ada dalam kerajaan, maka kabinet Pakatan Harapan (PH) yang baharu ditubuhkan Mei lalu tidak ada kredibiliti, selain tidak bermaruah dan tidak prihatin kepada majoriti rakyat.

“Sudahlah banyak janji PH pada rakyat tidak tertunai, perilaku buruk seorang anggota kabinet pun gagal diambil tindakkan. Betul-betul kabinet mainan yang tiada maruah. Kabinet retorik sahaja.

“Segeralah Mahathir bertindak, jangan tunggu lama-lama nanti rakyat makin marah sehingga terpaksa berdemontrasi.

“Kini demonstrasi sudah mula menjadi budaya rakyat. Kesianlah kepada rakyat yang kini kehidupannya amat tertekan kerana peningkatan kos sara hidup yang dashyat,” katanya. – MalaysiaGazette