Home Pendapat UMNO telah berubah

UMNO telah berubah

Ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO bersemangat mengibarkan bendera Barisan Nasional pada Majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 APRIL 2017

KEPUTUSAN drastik YB. Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi (DAZH) yang menyerahkan tugas dan amanah Presiden UMNO kepada YB. Dato Seri Mohammad bin Hassan (DMH) adalah satu langkah paling berani yang pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin UMNO sejak merdeka.

Langkah ini sudah pasti akan merubah landskap politik Malaysia yang kini lebih mencelarukan.

Pertamanya, ucapan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada DAZH kerana telah membayar harga yang cukup mahal setelah mengemudi UMNO selepas Barisan Nasional kalah di dalam PRU ke 14.

Sudah pasti keputusan yang dibuat itu memerlukan pengorbanan, kekuatan minda, dan kejujuran hati serta asas untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia, bahawa UMNO sudah berubah dengan secara total dengan tidak lagi meletakkan Institusi Presiden sangat eksklusif yang menjadi kelaziman sejak Tun Mahathir Mohamad menjadi Presiden UMNO.

Jujurnya, Kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun sendiri sudah tidak mempunyai banyak pilihan untuk melemahkan perjuangan UMNO yang mempunyai asas dan tujuan yang jitu.

Sebarang usaha ugutan dan ancaman terhadap UMNO sudah tidak boleh dipraktikkan lagi, malah akan menyaksikan musuh UMNO akan terdiam terutamanya ‘musuh dalam selimut’. Oleh itu, di bawah kepimpinan UMNO yang baru, dicadangkan agar UMNO dapat melakukan beberapa perubahan drastik demi survival UMNO di masa hadapan.

STRUKTUR UMNO DI PERINGKAT NEGERI

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO di negeri mestilah gabungan Adun dan Ahli Parlimen supaya usaha melengkapi berlaku di peringkat negeri dan persekutuan. Samaada Pengerusi UMNO negeri menjadi ketua pembangkang di Adun ataupun menjadi Menteri Besar di Perlis ataupun tidak, terpulang atas budibicara Presiden.

Ini kerana, yang pentingnya UMNO memperkukuhkan semula bahagian dan cawangan cawangannya serta berusaha untuk mengistyiharkan berapa sebenarnya ahli umno yang masih aktif dan akan bersama sama berjuang untuk kembali menjadi kerajaan di dalam PRU ke 15.

Di peringkat negeri, beberapa perubahan perlu dilaksanakan agar kelaziman meletakkan Ketua Bahagian sebagai barisan atasan agak lapok kerana ketua Bahagian sendiri amat diperlukan di peringkat bahagian bagi melaksanakan strategi yang lebih upaya di peringkat akar umbi.

Bawalah masuk tokoh Melayu yang dekat dengan UMNO dan disenangi rakyat menjawat jawatan yang boleh dicipta supaya gerakan yang lebih efiesien dan luas sudut pandangannya.

Istilah UMNO untuk UMNO, pemuda untuk pemuda, wanita untuk wanita dan puteri untuk puteri sudah tidak boleh digunapakai di Malaysia Baharu ini.

UMNO mesti bersifat universal tetapi di dalam masa yang sama akan mempertahankan kedaulatan Beraja, menjulang Islam dan memperkasakan Melayu.

Suntikan kesegaran dan kemandirian jati diri dari luar perlu dibawa masuk dalam setiap gerakan massa UMNO agar ia seiring dengan kehendak seluruh rakyat Malaysia.

KENALPASTI DAN PERKASAKAN AKAR UMBI

Pentingnya untuk pentadbiran UMNO mengenalpasti lebih 22,000 cawangan yang telah bertahun lamanya menjadi pengerak dan pengemudi diserata negara.

Siapa lagi yang mesti melakukan usaha ini jika bukan di peringkat pentadbiran pusat. Kepimpinan UMNO perlu berhenti membuat dasar yang terlalu umum.

Setiap dasar mesti mempunyai strategi, mekanisme dan gerak kerja yang lebih jelas. Kejelasan ini mesti difahami oleh bahagian dan cawangan untuk mereka mengolah Pelan Tindakan sendiri.

Sudah tentu gerakan cawangan semasa UMNO menjadi kerajaan yang dibantu oleh agensi dan jabatan kerajaan tidak sama dengan gerakan UMNO ketika menjadi pembangkang kini.

Barangkali itulah punca kecelaruan dan ketidakfahaman ketika DAZH membentangkan 7 teras halatuju UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO yang lepas.

Sudah tentu gerakan masa hadapan perlu tertumpu kepada generasi muda yang tidak pernah mengenal UMNO, atau akar umbi yang masih setia kepada UMNO atau kelompok yang mahu melihat UMNO kembali menjadi kerajaan.

Semua aspek ini mesti diperincikan agar setiap langkah akan memberi kesan yang paling maksima sebagai pembangkang dan bakal kerajaan di masa hadapan.

UMNO BUKAN PERJUANGAN INDIVIDU

UMNO mesti menghentikan sebarang usaha untuk membela individu. UMNO masa hadapan perlu membawa agenda parti secara bersama dan ia mesti berjalan dengan lancar.

Tidak ada agenda di dalam agenda kecuali mahukan rakyat Malaysia merasai kehadiran UMNO mestilah memberi kebaikan kepada mereka dan generasi yang akan datang.
Ini dilakuan bukan untuk menidakkan jasa pemimpin yang lepas, tetapi ia adalah iltizam dan azam baharu UMNO agar lebih relevan di mata rakyat Malaysia.

Sewajarnya mana mana bekas pemimpin UMNO lah yang mesti membantu membangunkan kembali UMNO agar tidak lagi tergelincir daripada matlamat perjuangan parti dan ia akan menjadi tunjang yang membantu UMNO secara total.

Sebagai public figure, sudah pasti kebaikan yang akan mereka lakukan bukan sahaja akan diterima rakyat malah akan turut membantu memperkuatkan UMNO secara semulajadi.

Medium media sosial, sessi townhall, dialog, bicara santai dan turun padang bagi menjawab segala bentuk fitnah dan nista kepada UMNO perlu dijelaskan.

Inilah masanya untuk mereka membela dan memberi pencerahan sebagai individu yang telah mendapat manfaat dari pejuangan UMNO sejak dahulu lagi. Dengan cara ini, rakyat Malaysia akan dapat mengenali antara kaca dan permata.

PERHIMPUNAN AGUNG KHAS UMNO

Inilah masa yang terbaik untuk Presiden atau Pemangku Presiden mengadakan Perhimpunan Agung (PAU) Khas seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO. Jangan jadikan Majlis Tertinggi (MT) sebagi alasan untuk menidakkan sebarang krisis yang berlaku.

Dengan adanya PAUk ini, akan menyelami setiap permasalahan dan merumuskan segala tindakan masa hadapan di dalam konteks politik UMNO. Apa jua kekurangan mesti diperbaiki, ditambah nilai dan diperluaskan pandang bicaranya.

Meletakkan UMNO dan kepimpinan di dalam status qou hanya akan melemahkan parti. Sudah tentu perwakilan yang telah di pilih di dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang lepas sudah bersiap sedia untuk kembali menyertai transformasi ini, format PAU sedia ada perlu di ubah agar lebih berkesan.

Di sebalik semua du atas, apa yang lebih penting ialah UMNO mesti memohon kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya jika sepanjang 61 tahun menjadi kerajaan telah membuat kesilapan dan kesalahan yang menyebabkan mereka semakin jauh dan terpinggir daripada perjuangan UMNO.

Sudah sampai masanya, UMNO mesti mengemukakan satu tawaran baharu yang lebih komprehensif kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk masa hadapan.

Buktikan kepada rakyat bahawa UMNO sudah berubah, dan menjadikan perjuangan UMNO adalah perjuangan seluruh umat Melayu dan bumiputra di Malaysia.

Sanggup mengakui kesilapan dan kelemahan, asal yang utamanya ialah pembangunan ummah dan negara, dan di dalam masa yang sama ABATA terus menjadi asas perjuangan sampai bila-bila.

Tawaran Baharu untuk Orang Melayu dan bumiputra perlu mengambil kira denyut nadi Islam dan Melayu yang boleh dijangkau oley zaman dan menpersiapkan diri untuk keperluan dan kehendak 10 atau pun 20 tahun yang mendatang.

Kesemua di atas ini adalah adalah sekadar cadangan sahaja yang boleh dinilai kebolehgunaannya oleh kepimpinan UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO. Ia sekadar cadangan dari saya sebagai ahli umno biasa, yang sentiasa sayangkan UMNO dan kasih terhadap rakyat dan umat melayu serta bumiputera di Malaysia

Dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia, ditambah dengan kepimpinan Kerajaan Baharu pada hari ini, saya amat yakin UMNO masih ada lagi tempatnya di hati orang melayu, dan masih ada ruang untuk rakyat Malaysia jadikan pilihan untuk menjadi kerajaan di masa hadapan

Kepada Allah kami berserah

Ayub bin Rahmat
01117650
Ahli Biasa UMNO