Home Politik UMNO ambil alih PPBM, ‘no way’ kata Tun M

UMNO ambil alih PPBM, ‘no way’ kata Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) berbual dengan tetamu ketika hadir pada Majlis Siri Kepimpinan Mahathir Mohamad di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengambil alih parti itu kelak.

Jelasnya, dakwaan Ahmad Zahid itu tidak mungkin berlaku kerana sebarang perubahan hanya boleh berlaku dalam pemilihan parti itu akan datang.

“Tidak mungkin (UMNO) ambil alih parti sehingga pemilihan parti akan datang,” katanya kepada media selepas menghadiri Siri Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad di Hotel Istana malam tadi.

Perkara itu dibangkitkan media selepas Presiden UMNO itu secara terang terangan menasihatkan kepimpinan PPBM agar berjaga-jaga dengan ahli UMNO yang bertindak melompat parti.

Katanya, ahli UMNO yang menyertai parti itu mempunyai agenda tertentu iaitu mahu menguasai parti kerajaan itu.

“Katanya, Kita mahu ambil alih kepimpinan parti itu. Ertinya niat tidak betul. Jaga-jaga Bersatu, mereka masuk nak ambil alih tempat kami! Itu bukan saya kata, saya baca WhatsApp dan ini realiti,” kata Ahmad Zahid ketika siaran langsung program Jom Dari Hati Ke Hati semalam.

Dakwaan itu berdasarkan kepada pesanan aplikasi Whatsapp yang mengatakan ada dalam kalangan pemimpin UMNO di Sabah yang melompat parti.

Menurut pesanan itu, kumpulan berkenaan masih belum cukup kuat, kerana itu mereka perlu lompat parti beramai-ramai. -MalaysiaGazette