LONDON – Gol Son Heung-min dan Dele Alli semalam mengesahkan Tottenham Hotspurs melangkah ke separuh akhir Piala Carabao.
Skuad Pochettino akan bertemu Chelsea di separuh akhir nanti.
Dalam aksi di stadium Emirates semalam, Spurs membuka jaringan pada separuh masa pertama menerusi Heung-min pada minit ke-20.
Arsenal yang beraksi di laman sendiri gagal menggunakan kelebihan itu untuk mencari gol penyamaan mahupun gol kemenangan.
Pada babak kedua, pasukan pelawat menghukum the Gunners sekali lagi menerusi gol kedua hasil jaringan Alli pada minit ke-59.
Walaupun statistik menujukkan Arsenal menguasai 54 peratus perlawanan dengan percubaan tepat lebih banyak berbanding Spurs, pertahanan kebal pasukan pelawat gagal digugat sehingga akhir perlawanan.
Pochettino menyifatkan pertemuan dengan the Blues di separuh akhir sebagai perhitungan yang sukar.
“Kami sudah mengenepikan Watford, West Ham dan Arsenal.
“Chelsea pasukan yang hebat tetapi kami lagi tidak sabar untuk bertemu mereka,” katanya.
Manakala dalam satu lagi perlawanan berasingan Chelsea menundukkan AFC Bournemouth 1-0 menerusi gol Eden Hazard pada minit ke-84 bagi menempah tiket ke separuh akhir. – Agensi