Home Utama Peruntukan khas RM77 juta untuk peneroka Felda

Peruntukan khas RM77 juta untuk peneroka Felda

Pemandangan dari atas kawasan Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memberi peruntukan khas sebanyak RM77 juta bagi membantu peneroka Felda melunaskan bayaran-bayaran tertunggak pada tahun semasa.

Bayaran-bayaran itu membabitkan bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta yang melibatkan waris kepada 120 peneroka yang telah meninggal dunia dan tunggakan kepada Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka sebanyak RM43 juta.

Selain itu, bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta untuk manfaat 38,000 orang
peneroka FELDA.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bantuan kewangan itu dibuat atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang prihatin terhadap aliran tunai Felda yang sangat kritikal.

“Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan tahun 2018 sebanyak RM77 juta ini kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia Felda,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette