KUALA LUMPUR- Pengumuman agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) terendah sejak penubuhannya pada Januari 1990 bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau di luar jangkaan, kata Khairy Jamaluddin.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu agihan dividen sebanyak 6.50 sen dan bonus 0.50 sen itu adalah rentetan daripada trend penurunan pasaran saham tempatan dan kekurangan keyakinan pelabur sama ada dalam dan luar negara terutama selepas pilihanraya ke-14, Mei lalu.
“Memandangkan ASB melabur dalam pelbagai pasaran saham termasuk di dalam syarikat GLC, ianya secara langsung memberi kesan kepada nilai pelaburan dan pulangan negatif kepada ASB.
Perkara yang terjadi ini adalah berkait rapat dengan keyakinan pelabur, baik dari dalam atau luar negara. Ditambah dengan banyak tindakan u-turn dan keputusan flip-flop oleh kerajaan hari ini, ianya hanya memburukkan lagi keadaan.
Rakyat Malaysia masih belum jelas apakah pelan jangka masa panjang atau pakej ransangan ekonomi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi merancakkan keadaan ekonomi negara.
Tetapi yang kita dengar kini hanyalah projek kurun ke-20 seperti projek kereta nasional ketiga,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook beliau hari ini.
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) Selasa lalu jatuh ke paras terendah sejak tahun 2016 kepada 1,635 mata.
Untuk rekod, trend penurunan ini sudah berlarutan semenjak bulan Mei 2018 yang pada ketika itu menunjukkan FBM KLCI berada pada paras 1,850 mata.
Ini banyak saham-saham syarikat GLC utama negra juga mengalami trend penurunan yang sama. -MalaysiaGazette