KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, dakwaan Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung cubaan menggulingkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hanyalah sekadar pendapat peribadi beliau.
Menurutnya, semua ahli PH seharusnya tidak fokus kepada politik kepartian malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar sendiri memberikan sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk menerajui Putrajaya selepas kemenangan PH.
“Ini sekadar pendapat peribadi dan lihat kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan penuh kepada pentadbiran Dr Mahathir.
“Semua pihak supaya tidak terlalu memberi fokus terhadap politik kepartian kerana rakyat kini mahukan bantuan, sokongan dan pembelaan,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengulas mengenai pendedahan Khairuddin bahawa wujudnya komplot bagi menggulingkan Dr Mahathir.
Jelas Khairuddin, gerakan itu digerakkan oleh individu yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan dalam Kabinet Dr Mahathir.
“Saya dapat menghidu tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa tidak dapat jawatan yang sedang berusaha untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri,” dedah Khairuddin hari ini.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu mengulas mengenai kritikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul terhadap Dr Mahathir yang didakwa seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. -MalaysiaGazette