KUALA LUMPUR- Malaysia sedia membantu meringankan beban rakyat Indonesia berikutan tsunami yang melanda sekitar pantai di Selat Sunda, Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau terkesan apabila menerima berita mengenai tsunami yang telah melanda Banten, Indonesia.
“Terkesan mendengar berita tsunami melanda Banten, Indonesia yang sekurang-kurangnya telah mengorbankan 20 nyawa.
“Saya doakan Indonesia terus tabah menghadapi ujian ini. Malaysia sedia membantu meringankan beban saudara kita di Indonesia. @jokowi#PrayForIndonesia,” katanya di laman Twitter beliau kira-kira jam 9 pagi tadi.
Setakat ini Agensi Bantuan Bencana Alam Kebangsaan Indonesia melaporkan sekurang-kurangnya 43 orang terkorban manakala lebih 500 lagi mangsa mengalami kecederaan akibat tsunami yang berlaku sekitar 9.27 malam waktu tempatan.
Tsunami berkenaan dipercayai berlaku akibat tanah runtuh sususlan letusan gunung berapi Anak Krakatao
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho berkata mangsa yang terkorban khususnya berlaku di Kabupaten Pandeglang, Lampung Selatan dan Serang.- MalaysiaGazette