KUALA LUMPUR – Perlis semakin serius dalam usaha membawa penyerang kebangsaan, Akhyar Rashid bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.
Jika sebelum Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) secara terbuka menyatakan minat mereka ke atas Akhyar, kini mereka mengambil langkah berani mengunjungi rumah pemain Hijau Kuning itu.
PFA dalam laman Facebooknya mengesahkan telah menghantar rombongan bagi melamar Akhyar.
Rombongan tersebut terdiri daripada barisan exco dan pasukan kejurulatihan Perlis yang diketuai oleh Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.
Tindakan Singa Utara membuatkan masa depan Akhyar terus menjadi tanda tanya.
Sebelum ini, Pengarah Sukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Martin Prest mengesahkan mereka sedang berunding dengan Akhyar yang sudah menjadi ejen bebas.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status mereka yang membenarkan Akhyar menebus kontraknya dengan nilai RM210,000.
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pula mahu mencabar keputusan FAM dengan mengemukakan rayuan.
Menurut KFA keputusan FAM itu tidak dapat diterima kerana mereka masih ada hak ke atas pemain yang ada kontrak dengan mereka.
KFA meminta mana-mana pihak yang mahu mendapatkan Akhyar agar berjumpa dengan mereka selain bersikap profesional.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edward tampil membidas KFA dengan menyatakan JDT tidak perlu melalui KFA jika mahu mendapatkan pemain muda berusia 19 tahun itu.
Akhyar merupakan pemain penyerang yang berbakat dan menjadi pemain penting skuad kebangsaan di pelbagai peringkat pada musim ini. – MalaysiaGazette