Home Seni Hidup Vokalis Seventeen selamat, isteri hilang

Vokalis Seventeen selamat, isteri hilang

Foto Instagram Ivan Seventeen.

BANTEN – Vokalis kumpulan Seventeen, Ifan terselamat dalam kejadian tsunami ketika mereka sedang mengadakan persembahan di Pantai Tanjung Beach Resort, Banten bersempena hari keluarga sebuah syarikat korporat pada malam tadi

Menerusi Instagram peribadinya, Ifan bagaimanapun memaklumkan isterinya, Dylan Sahara yang turut berada di tempat kejadian masih belum ditemui selepas dibawa arus.

Dia turut memberitahu, tiga lagi rakannya, Herman (gitar), Andi (drum) serta seorang krew dikenali sebagai Ujang juga masih belum ditemui.

Bagaimanapun Ifan mengesahkan pemain bass kumpulan itu, Bani atau Muhammad Awal Purbani dan pengurus mereka Oki Wijaya meninggal dunia akibat kejadian itu.

“Kita kehilangan pemain bass kita Bani sama pengurus Oki. Andi, Herman dan Ujang belum ditemui, minta doanya untuk isteri saya yang turut hilang,” katanya dalam rakaman video sambil menitiskan air mata.

Sementara itu Reuters melaporkan, agensi bencana Indonesia mengesahkan angka kematian bencana tsunami yang melanda kawasan pantai sekitar Selat Sunda di antara kepulauan Sumatera dan Jawa meningkat kepada 43 orang dan mencederakan 584 orang.

Gelombang tsunami itu dipercayai mempunyai kaitan dengan letusan awal gunung berapi Anak Krakatau.

Kenyataan dari Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menjelaskan gunung berapi Krakatau meletus kira-kira pukul 9 malam dan tsunami melanda setengah jam kemudian. – MalaysiaGazette