Home Nasional Khalid didesak henti lindungi bekas ahli UMNO

Khalid didesak henti lindungi bekas ahli UMNO

Pusat Sembelihan Ayam
Jawatankuasa Kerja Rayuan Membatalkan Lokasi Pusat Penyembelihan Ayam

KUALA LUMPURĀ – Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad didesak untuk tidak terus melindungi bekas ahli UMNO dan menutup mata di sebalik pemberian projek pembinaan Pusat Penyembelihan Ayam di Parlimen Batu secara rundingan terus hanya kerana telah menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Rayuan Membatalkan Lokasi Pusat Penyembelihan Ayam, Datin Paduka Khatijah Sulieman, walaupun surat bantahan telah dihantar kepada menteri itu pada 13 Ogos lalu, namun maklum balasnya sangat mengecewakan.

“Pada 13 Ogos 2018 pihak kami telah menghantar surat bantahan dan berjumpa dengan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad di Parlimen.

“Sebaliknya pihak kementerian telah mengumumkan bahawa projek itu tetap akan diteruskan kerana telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Veterina.

“Keputusan itu dibuat tanpa memanggil Jawatankuasa Kerja Rayuan ini untuk perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada awal 2015, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik sebuah syarikat milik Bumiputera sebagai pemaju projek itu di atas nama kerajaan yang telah digazetkan pada 2014 khas untuk pakir kenderaan awam.

DBKL didakwa tidak pernah mengadakan rundingan atau perjumpaan dengan persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak pengurusan bangunan strata yang berada di Parlimen Batu sebelum meluluskannya.

Sementara itu, setiausaha jawatankuasa itu, Abdul Aziz Mohd Alias pula berkata, lebih mengecewakan apabila Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran sendiri menyokong agar projek itu diteruskan tanpa mengambil kira kesan kesihatan penduduk yang bakal terjejas.

“Ahli Parlimen kita sendiri di kawasan Batu, P. Prabakaran dengan berani mengeluarkan kenyataan menyokong kepada pemaju. Ini sangat mengecewakan sedangkan kita tak pernah berjumpa dengan beliau,” katanya.

Kata Abdul Aziz, pihaknya kesal laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat pada 17 Mei lalu masih tiada sebarang perkembangan meskipun pelbagai bukti wujudnya elemen rasuah telah diserahkan.

“Adakah ini satu rasuah? Tidak hairanlah jika ahli Parlimen Batu tidak menyokong kita sebaliknya menyokong pemaju. Adakah dia wakil pemaju?

“Projek 2015 dan pemaju juga 2015, pemaju tak ada pengalaman langsung dalam bidang pembinaan dan sebagainya serta tiada sumber kewangan. Ini prosedur kerajaan sudah salah.

“Cara pertukaran status tanah, kita ada bukti notis bila terima, bila dijemput, apa dia jawab. Minit mesyuarat itu ada di Pejabat Tanah dan Galian.

“Sebab itu SPRM tak nak siasat. Sebaliknya kita pula diambil keterangan oleh SPRM tapi malangnya tiada jawapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette