KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar Siti Kasim yang menyerangnya di Twitter sejak semalam.
Syed Saddiq menegaskan aktivis itulah yang membangkitkan sentimen perkauman apabila mendakwanya menyokong P. Waytha Moorthy dipecat.
Bahkan tambah Menteri Belia dan Sukan itu, isu yang melibatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu bukan melibatkan perkauman sebaliknya ia adalah isu nasional.
“Dengan segala hormatnya ini bukan isu Melayu bukan juga isu India, ini adalah isu rakyat Malaysia.
“Saya akan terus bersuara dan membenarkan orang lain bertindak sedemikian juga.
“Cepat sahaja puan menyalahkan orang lain rasis, tetapi realitinya puan yang menyemai politik perkauman. Berhenti bangkitkan perkauman kepada semua perkara,” katanya menerusi Twitter.
Untuk rekod Jumaat lalu, Syed Saddiq bertegas tidak akan meminta maaf kerana menyuarakan pendapat dan bersedia dikenakan tindakan sekiranya apa yang dilakukannya adalah salah selepas beberapa kepemimpinan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dilaporkan bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menyerahkan memorandum menuntut Waytha Moorthy meletakkan jawatan.
Siti Kasim kemudian menyelar tindakan menteri muda itu yang disifatkannya tidak akan bertahan lama dalam arena politik.-MalaysiaGazette