KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menyalur bantuan kepada Indonesia khususnya kepada aktiviti mencari dan menyelamat mangsa tsunami di Selat Sunda yang berlaku dua hari lalu.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, kedutaaan Malaysia di Jakarta akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar Indonesia berhubung perkara ini.
“Pihak kedutaan akan berbincang dengan Kementerian Luar Indonesia berkaitan bantuan yang boleh dihulurkan Malaysia.
“Berdasarkan kepada Standby Arangement Plan, Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan terutamanya dalam aktiviti mencari dan menyelamat, yang mana pasukan SMART NADMA merupakan Pasukan USAR utama bertaraf (International Search and Rescue Advisory Group) INSARAG Antarabangsa di ASEAN,” kata dalam kenyataan hari ini.
Namun begitu sehingga kini, menurut NADMA, Indonesia belum membuka ruang bantuan antarabangsa kerana menganggap masih mampu menangani sendiri kesan tsunami itu menerusi Badan Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS).
“Menurut Wisma Putra buat masa ini, Indonesia masih belum membuka ruang untuk bantuan antarabangsa kerana berpandangan respon masih memadai dengan kapasiti dalaman negara BNPB dan BASARNAS,” tambah kenyataan.
Terkini angka korban tsunami Selat Sunda meningkat kepada 281 orang pada.
Ketua Pusat Data dan Informasi Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dilaporkan sebagai berkata angka korban dijangka terus meningkat.-MalaysiaGazette