Home Nasional Mengaku pun terima subsidi rakyat – Najib

Mengaku pun terima subsidi rakyat – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengucap terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana akhirnya mengaku menerima subsidi minyak dari rakyat selama dua bulan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan kini berjanji untuk menurunkan harga minyak RON95 bermula minggu depan.

Namun beliau sempat bertanya bila kerajaan akan menurunkan harga minyak masak kerana harga sawit sudah jatuh menjunam sejak enam bulan yang lalu.

“Dulu bukankah selalu kritik saya bahawa harga minyak bertukar setiap minggu tidak baik dan menyusahkan rakyat?

“Bukan satu dari 10 janji manifesto 100 hari itu untuk menstabilkan harga minyak?

“Mengapa sekarang mahu buat sama dengan kerajaan BN pula? BN baik juga, ke? Tak apalah,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini dengan tanda pagar #FitnahSudahMenang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembalikan sistem apungan harga minyak mingguan

ARTIKEL BERKAITAN: Harga petrol ditetapkan secara mingguan semula

Kata beliau, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun ketika ini.

Jelas Guan Eng, penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.

Semalam, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu kerajaan menyemak harga petrol secara mingguan, sekali gus membolehkan harga RON95 turun sebanyak 20 sen seiring dengan kejatuhan harga minyak dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi jangka harga petrol sekitar RM1.90 seliter pada 1 Jan

ARTIKEL BERKAITAN: Kata nak beri subsidi minyak, tapi rakyat bayar 34 sen seliter sekarang – Najib

Sabtu lalu, Najib mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah mengenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas petrol RON95, sejak awal bulan lalu.

Kata beliau, berdasarkan harga Brent semasa iaitu sekitar AS$52 setong, harga petrol RON95 sepatutnya dikenakan antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan lalu berbanding harga pada ketika ini iaitu RM2.20. – MalaysiaGazette