JAKARTA- Indonesia mencatatkan angka tertinggi panggilan spam di Asia Tenggara, demikian menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah aplikasi yang boleh mengesan ID pemanggil, menghalang panggilan dan SMS spam.
Spam bermakna panggilan atau pesanan ringkas yang tidak bermanfaat dan menawarkan sesuatu yang melibatkan penipuan atau pemalsuan.
Dalam laporan berkenaan, Indonesia menduduki tangga tertinggi di Asia Tenggara dan di kedudukan ke-16 di peringkat global.
Sebagai sebuah negara yang menghadapi panggilan spam tertinggi di ASEAN, Indonesia mencatatkan purata sembilan panggilan spam sebulan diikuti Malaysia dengan purata enam panggilan sebulan.
Laporan yang dipanggil Truecaller Insight Special Report itu menunjukkan spammer tertinggi di Indonesia adalah daripada pengendali telekomunikasi (41 peratus) dan perkhidmatan kewangan seperti bank dan kad kredit (20 peratus).
Panggilan daripada syarikat-syarikat insurans pula mewakili 20 peratus diikuti panggilan yang mempunyai kaitan dengan pemalsuan dan gangguan masing-masing mewakili 10 peratus dan sembilan peratus.
Truecaller telah mengenal pasti dan menghalang 17.7 bilion panggilan spam di dunia dan membantu mengenal pasti 74.1 bilion panggilan secara umum kepada penggunanya.
Dari segi global, Brazil mengatasi India sebagai negara yang paling terkesan oleh panggilan  spam di dunia dengan 81 peratus peningkatan berbanding tahun lepas.-Agensi