Home Nasional Bila dah jadi kerajaan, PH ikut cara BN tanpa rasa malu

Bila dah jadi kerajaan, PH ikut cara BN tanpa rasa malu

Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – “Bila dah jadi kerajaan, Pakatan Harapan (PH) balik semula ikut apa yang Barisan Nasional (BN) buat dahulu tanpa rasa malu dan bersalah walaupun PH pernah kuat kritik, menghasut dan menipu rakyat,” sindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini susulan keputusan Kementerian Kewangan mengapungkan semula harga petrol seperti yang diumumkan semalam.

Najib selepas kekalahan BN pada pilihanraya ke-14 yang lalu, aktif menggunakan media sosial untuk menzahirkan pandangan dan kritikan beliau terhadap isu-isu semasa dan kerajaan baharu PH.

Di laman Facebooknya hari ini, bekas perdana menteri itu berkongsi dua hantaran berhubung langkah U-turn kerajaan PH di dalam menangani isu naik-turun harga petrol di negara ini– salah satu isu yang sering menjadi topik kritikan pembangkang (kini kerajaan) terhadap Najib.

Dalam satu hantaran, Najib mengepil bersama artikel roketkini.com bertarikh 1 Disember 2014 bertajuk “Apungan Terkawal” Hanya Nama Lain Bagi Cukai Bahan Api.

Artikel yang memetik Ahli Parlimen DAP, Liew Chin Tong berkata, kaedah apungan terkawal sepatutnya dinamakan apungan kotor.

Ini menurut Chin Tong adalah kerana kaedah yang diperkenalkan kerajaan BN pada Disember 2014 itu membuktikan mekanisme tersebut hanyalah satu nama lain untuk cukai bahan api walaupun harga diesel, RON95 dan RON97 sedang mengalami penurunan.

“Oh Yak e?

“Patutlah Menteri Kewangan DAP nak mengapungkan semula petrol bermula minggu depan.

“PH berbalik-balik cakap. Semasa pembangkang, setiap langkah kerajaan BN dipertikaikan,” kata Najib.

Dalam satu hantaran sejam lebih awal, Najib menyindir kerajaan PH dalam isu yang sama dan kali ini beliau mengepil bersama satu artikel bertarikh 8 Disember 2014 yang mana Tony Pua menuduh kerajaan BN melaksanakan penetapan harga petrol secara mingguan untuk memungut cukai secara tersembunyi daripada rakyat bagi menampung perbelanjaan kerajaan.

“Kita pinjam mesin masa mereka sekejap untuk balik ke tahun 2014 untuk dengar hujah sambil tersenyum dari Tony Pua,” kata Najib.

Di dalam artikel yang disiarkan oleh roketkini.com itu juga, Tony menyifatkan tindakan kerajaan BN ketika itu adalah adalah sesuatu yang paling tidak beretika.

“Baca. Jangan tak baca.

“Satu lagi saya nak pesan kepada Menteri Kewangan hari ini:

“Jangan umum harga petrol mingguan pada hari Rabu.

“Nanti ada orang kata copy-paste BN.

“Umum pada hari Selasa atau Khamis.

“Lencun. Oh, lencun,” kata Najib.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan menetapkan harga petrol secara mingguan berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia ketika ini.

Serentak itu, pengguna di Malaysia bakal menikmati harga petrol yang lebih rendah bermula 1 Januari ini.

Ketika ini harga petrol bersubsidi RON95 ditetapkan pada RM2.20 seliter manakala RON97 adalah mengikut kadar semasa pasaran.-MalaysiaGazette