Home Nasional Menteri PH kurangkan bercuti, tumpu masalah rakyat

Menteri PH kurangkan bercuti, tumpu masalah rakyat

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Menteri kerajaan Pakatan harapan (PH) dinasihatkan agar tidak terlalu lama bercuti, sebaliknya memberi tumpuan untuk bagaimana meningkatkan hasil dan ekonomi negara demi rakyat.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan ketika mengingatkan perkara itu berkata, banyak masalah berlaku di peringkat bawahan seperti petani tidak dapat mengerjakan bendang dan pendapatan nelayan juga turut merosot.

Katanya, setakat ini kerajaan PH gagal mempromosi produk pelancongan sehingga hasil daripada sektor itu turut menurun.

“Kerajaan PH mempunyai ramai menteri, tetapi nampaknya mereka masih berseronok bercuti.

“Saya nasihatkan menteri-menteri PH kurangkan cuti hujung tahun. Beri tumpuan kepada permasalahan ekonomi rakyat,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.

Menurut Ahmad Maslan yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, beliau berbuat demikian sekadar untuk mengingatkan kerajaan PH agar tidak lupa kepada rakyat.

Ujarnya, beliau membantu menyalurkan permasalahan itu menerusi media sosial kerana yakin menteri PH membawa akaun Twitter, Instagram dan Facebook beliau. – MalaysiaGazette