Home Politik Kit Siang kenapa buat u turn?

Kit Siang kenapa buat u turn?

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang jangan cuba menyalahkan orang lain berhubung kenyataan kontroversinya yang mahu keluar daripada Pakatan Harapan jika objektif Malaysia Baharu dipinggirkan.

Ini kerana, kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham sebagai ugutan itu dikeluarkan sendiri oleh Penasihat DAP itu dan bukan oleh sesiapa.

Disebabkan itu, hampir kebanyakan media melaporkan berita yang sama berhubung kenyataan yang dibuat oleh Kit Siang.

“Angin tidak bertiup, pokok tidak bergoyang tetapi pemimpin agung DAP, Lim Kit Siang tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari Pakatan Harapan.

“Jika Perdana Menteri sendiri tidak tahu apa yang Kit Siang cuba sampaikan, janganlah Kit Siang cuba untuk salahkan pihak-pihak lain,” kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan di sini.

Presiden MCA itu menjawab kenyataan Kit Siang yang mendakwa pembangkang termasuk MCA sengaja mencetuskan provokasi berkenaan kenyataannya itu.

Lantaran itu, Kit Siang berkata, salah satu sebab kurikulum pendidikan negara perlu dirombak kerana kurikulum sedia ada telah menghasilkan pemimpin politik yang tidak dapat memahami kenyataan mudah dan mereka-reka apa yang tidak ditulis.

Namun, Ka Siong berkata, Kit Siang sebenarnya terkesan dengan cabaran MCA supaya DAP buktikan bahawa mereka akan meninggalkan Pakatan Harapan dan bukan hanya berani berkata-kata.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga berkata, sudah jelas sekarang perjuangan “Malaysian Malaysia” DAP dan janji-janji parti tersebut kepada penyokong mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 masih gagal dicapai di dalam kerajaan Pakatan Harapan.

“Sedia maklum, kenyataan Kit Siang sebelum ini dilihat berani tetapi selepas dicabar, beliau terus menjadi pengecut dan tidak berani mempertahankan kenyataan sendiri bahkan menegaskan bahawa DAP tidak akan keluar daripada PH pula,” ujarnya.

Ka Siong pula secara sinis berkata, jika Kit Siang masih mahu anaknya, Lim Guan Eng terus memegang jawatan Menteri Kewangan, Penasihat DAP itu janganlah mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia boleh mengelirukan dan menyebabkan salah faham.

Namun, Presiden MCA itu tetap mahu Kit Siang menjelaskan mengapa Penasihat DAP itu membuat pusingan U terhadap kenyataan sendiri.

“Adakah kerana Kit Siang dan DAP takut pada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad?,” soalnya. – MalaysiaGazette

+ posts