KUALA LUMPUR – Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepis dakwaan kelab itu berhasrat mengikat pemain kelahiran Brazil, Isael Da Silva Barbosa bagi mengharungi saingan musim depan.
Pengurus JDT, Luciano Figueroa mengakui pasukannya pernah ‘mengintai’ pemain berusia 30 tahun itu tetapi tidak meneruskan rundingan untuk mendapatkan khidmatnya.
“Kami sudah mempunyai pemain lain yang lebih sesuai dengan pasukan kami dan bola sepak Asia. Kami berada dalam perbincangan terakhir dan sedang menunggu untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum dapat mengumumkan pemain terbabit.
“Justeru, semua khabar angin termasuk ‘transfer market’ yang mengatakan dia akan menyertai kami adalah tidak benar sama sekali,” katanya menerusi Facebook Johor Southern Tigers.
Sehingga kini, JDT telah membawa masuk dua pemain import baharu sebagai persediaan untuk terus mendominasi kancah bola sepak tempatan dan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.
Skuad Harimau Selatan itu berjaya mendapatkan khidmat bekas pertahanan Lazio dan Spartak Moscow, Mauricio dos Santos bagi mengisi kekosongan berikutan ketiadaan Marcos Antonio,
Selain itu, mereka mengikat abang kepada pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez iaitu Aaron Niguez yang mampu beraksi di beberapa posisi serangan buat pasukan itu. – MalaysiaGazette