BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lelaki yang juga paderi bagi membantu siasatan berhubung kejadian mencabul kehormatan seorang gadis yang datang mengurut di rumahnya di sebuah pangsapuri di Jalan Laguna 2, Perai, di sini baru-baru ini.
Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan pada 18 Disember lalu, selepas gadis berusia 24 tahun berkenaan membuat laporan polis dan paderi tersebut akan didakwa di Mahkamah Butterworth Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa yang bekerja sebagai kerani pergi ke rumah paderi itu yang juga bapa angkat rakannya bagi melakukan rawatan penyakit sendi pada 1 Disember lalu.
Katanya, dalam kejadian 2 petang itu, lelaki berkenaan mengurut kaki mangsa di ruang tamu rumah suspek sebelum bertindak membuka pakaian gadis tersebut kerana mendakwa perlu mengurut seluruh badan bagi melancarkan darah.
Azhan berkata, lelaki itu yang sudah berkahwin berpesan kepada mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa.
“Lelaki itu sebelum ini didakwa selalu menyentuh badan mangsa seperti bahu, dada dan punggungnya ketika mangsa pergi berjumpa kawannya di situ. Suspek juga didakwa selalu mengatakan mahu merogol mangsa.”
Beliau berkata, selain mangsa, polis turut menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang turut mendakwa dicabul lelaki itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, polis sudah merujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya bagi mendakwa suspek Jumaat ini dan mangsa yang pernah dicabul paderi itu diminta membuat laporan polis. – MalaysiaGazette