Home Politik Henti politikkan isu Adib, biar polis siasat

Henti politikkan isu Adib, biar polis siasat

Akmal Nasir
Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – “Pelbagai pihak tidak seharusnya mengambil kesempatan untuk menggunakan isu kematian anggota bomba Malaysia, Allahyarham Muhammad Adib sebagai saluran untuk menegakkan agenda yang berkepentingan,”

Demikian menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir.

Menurutnya, kepercayaan dan keyakinan harus diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)) dalam menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

“Rakyat perlu berhenti menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden tersebut untuk mengelakkan salah faham dan reaksi yang tidak diingini, terutamanya di media sosial.

“Masyarakat perlu yakin bahawa laporan siasatan menyeluruh yang tepat dan telus akan dikeluarkan dalam masa terdekat oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru merujuk kepada penahanan Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah yang direman selama 4 hari ini ekoran ceramahnya semasa perhimpunan membela Muhammad Adib.

Azwanddin direman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur ugutan yang dikeluarkannya pada satu perhimpunan di Klang, Selasa lalu.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ulas Akmal lagi, sentimen perkauman tidak perlu dibangkitkan lagi kerana isu ini telah menjadi kes mahkamah dan rakyat seharusnya membiarkan badan judisiari itu membuat keputusan berhubung pendakwa terhadap Azwanddin.

“Diharap tidak ada lagi cubaan untuk mengapi-apikan kembali unsur perkauman atau apa sahaja yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan masyarakat Malaysia,” katanya lagi. -MalaysiaGazette