Home Politik Pekebun sawit raih RM280 sebulan, apa PH buat?

Pekebun sawit raih RM280 sebulan, apa PH buat?

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak mempunyai perasaan apabila tidak melakukan sesuatu dalam menangani kejatuhan harga minyak sawit.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kejatuhan harga komoditi itu menyebabkan pekebun-pekebun kecil hanya meraih pendapatan bersih sebanyak RM280 sebulan.

“Apa tindakan kerajaan PH? Duduk dan tenung?” soalnya yang mempertikaikan kejatuhan harga komoditi itu selepas Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara pada 9 Mei lalu.

Ini kerana, empat bulan pertama tahun 2018 (Januari – April), eksport minyak sawit Malaysia meningkat dengan ketara iaitu sebanyak 20 peratus.

Pada 3 Januari 2017, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merekodkan Harga Minyak Sawit Mentah (MSM) ialah pada paras RM3,252 setiap tan. Manakala pada 29 Disember 2017 pula, RM2,400/tan.

“Pada 26 Jun 2018, iaitu beberapa hari selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, harga minyak sawit mentah ialah RM2,277/tan manakala pada 26 Disember 2018 ia terus menjunam kepada RM1,903/tan. Bayangkan daripada RM3,252 (Januari 2017) menjunam kepada RM1,903 (Disember 2018),” tegas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Ka Siong berkata, malapetaka akan menimpa para pekebun kecil negara dengan mengambil kira kebimbangan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan yang membayangkan ramai majikan akan membekukan pengambilan pekerja kerana keadaan ekonomi yang lembap pada tahun 2019.

Kata Shamsuddin, keadaan itu dijangka memberi kesan paling buruk kepada sektor perkhidmatan.

Secara sinikal Ka Siong berkata, biarpun tarikh 9 Mei 2018 merupakan kejayaan buat pemerintah Pakatan Harapan yang julung kalinya menang pilihan raya tetapi ia juga menjadi tarikh dukacita buat rakyat marhaen. – MalaysiaGazette