Home Utama Inkues beri lebih banyak ruang siasat kematian Muhammad Adib

Inkues beri lebih banyak ruang siasat kematian Muhammad Adib

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyampaikan watikah naik pangkat kepada bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kassim Abdul Hamid bersama isterinya, Asma Aziz (dua kanan) sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid (kiri) pada Majlis Penghargaan Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat di Dewan Sutera, Ibupejabat JBPM, Presint 7, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berpuas hati dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengarahkan Majistret membuat inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, inkues itu akan memberikan lebih ruang kepada Majistret untuk menyiasat dan bertemu dengan pihak yang terlibat dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafileds, dekat Subang Jaya pada 26 November lalu.

“Saya sudah maklum bahawa KDN akan mengadakan sesi inkues. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan saya sendiri berpuas hati dengan keputusan itu.

“Sekurang-kurangnya ia memberikan lebih ruang kepada pakar forensik, pakar jantung, doktor yang merawat Muhammad Adib dan saksi-saksi yang berada di tempat kejadian untuk menceritakan apa yang berlaku.

“Jadi ini sangat-sangat kami alu-alukan, dan jika ada saksi baharu yang hendak tampil ke depan, mereka akan dapat ruang untuk memberikan maklumat, berhubung insiden itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penghargaan Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di ibu pejabat JBPM di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid; dan ayah Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Pada majlis itu, Zuraida mengumumkan penganugerahan kenaikan pangkat dan gaji Allahyarham Muhammad Adib dari Gred KB19 kepada KB22 berkuatkuasa serta merta.

Ditanya ada netizen dan NGO termasuk Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang tidak setuju dengan keputusan untuk menjalankan inkues, Zuraida berkata, keputusan itu dibuat selepas KDN mengambil kira siasatan awal dan sebagainya.

“Sudah tentu KDN mendapat penjelasan daripada pihak yang terlibat dalam insiden itu, dan mereka fikir sewajarya atau sebaiknya diadakan inkues,” katanya.

Mengenai peguam pemerhati, beliau menyatakan peguam itu dilantik bagi pihak KPKT, bukan keluarga Allahyarham Muhammad Adib. – MalaysiaGazette