Home Utama Malaysia kurang berminat teruskan TPP

Malaysia kurang berminat teruskan TPP

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah kurang berminat untuk meneruskan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), berikutan penarikan diri Amerika Syarikat (AS) daripada perjanjian tersebut, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, Malaysia serta negara-negara seperti Vietnam, Singapura dan Brunei menyertai TPP dengan tujuan utama untuk mendapatkan akses pasaran lebih baik, terutamanya ke AS, lapor Bernama.

“Pengunduran Amerika Syarikat daripada TPP menjadikan perjanjian itu kurang menarik bagi Malaysia untuk meneruskan perundingan kerana ia kurang menepati kehendak dan objektif negara menyertainya,” jelas Mustapa.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab di Parlimen hari ini bagi menjawab 18 soalan mengenai kesan penarikan diri Amerika Syarikat daripada TPP, status perjanjian tersebut dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), serta hubungan perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat.

Namun, katanya, masih terdapat kelompok negara seperti Jepun dan New Zealand yang masih berminat mahu meneruskan perjanjian tersebut.

Sejak Presiden AS Donald Trump mengumumkan pengunduran Amerika daripada TPP pada 23 Januari 2017, negara-negara TPP telah bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju perjanjian ini. 

“Saya menjangkakan perbincangan yang lebih mendalam akan berlangsung di Vietnam semasa pertemuan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC yang akan diadakan pada Mei 2017. 

“Ini termasuk persoalan tentang kemungkinan TPP dapat disertai oleh ekonomi APEC yang lain seperti China, Korea dan Rusia. Buat masa ini, adalah terlalu awal untuk menjawab kesemua persoalan tersebut,” katanya.

Mustapa berkata, walaupun potensi akses pasaran akan berkurangan tanpa penglibatan AS dalam TPP, Malaysia akan meneruskan pindaan undang-undang tertentu untuk menambah baik perundangan dan peraturan sedia ada.

Menurutnya, sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, kegagalan pelaksanaan TPP akan menyebabkan syarikat-syarikat Malaysia terlepas peluang untuk bersaing dengan lebih kompetitif, khususnya di rantau Asia Pasifik. 

Namun begitu, Malaysia sedang aktif dalam beberapa siri rundingan FTA bersama Iran, Sri Lanka dan Kesatuan Eropah di peringkat dua hala serta perjanjian melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif serantau (RCEP), katanya.

Mengenai perbelanjaan bagi TPP, kira-kira RM15 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai 15 Kementerian dan Agensi yang terlibat dalam proses rundingan. 

Sebahagian besar perbelanjaan tersebut melibatkan kos logistik seperti tiket penerbangan yang kebanyakan melibatkan perjalanan jarak jauh seperti AS, Kanada dan Peru,” katanya. – MalaysiaGazette