KUALA LUMPUR – Pelakon Nelydia Senrose menarik diri pada saat-saat akhir drama sekuel popular, Nur 2 yang dijangka menjalani penggambaran pada awal Januari ini.
Pengarah drama itu, Shahrul Ezad mengesahkan penarikan diri Nelydia di Instagram miliknya.
Keputusan dibuat Nelydia ketika dia mengerjakan ibadah umrah di Mekah selepas berbincang dengan keluarganya dan mereka tidak bersetuju dia membawa peranan yang berat.
Nelydia sepatutnya memegang watak sebagai Juita.
“Secara rasminya saya nak umumkan yang Nelydia Senrose tak jadi menyertai barisan pelakon Nur 2 disebabkan sebab peribadi yang saya hormat.
“Mungkin watak itu terlalu ‘daring’ untuk dia yang sedang mengerjakan umrah sekarang,” jelas Shahrul Ezad.
Shahrul turut memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Nelydia mengenai penarikan dirinya dalam projek itu.
Nur 2 bakal menyaksikan pembabitan pelakon terkenal seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Raja Atiq, Rina Diana, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Laila Nasir, Norkhiriah dan Azhan Rani.
Ia dijangka ditayangkan di TV3 pada pertengahan Mac depan. – MalaysiaGazette