Home Utama Sivarraajh tidak layak undi, bertanding sehingga 2023 – SPR

Sivarraajh tidak layak undi, bertanding sehingga 2023 – SPR

Datuk Sivarraajh Chandran
Datuk Sivarraajh Chandran

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh hilang kelayakan untuk bertaning pada pilihan raya sehingga 2023, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Berikutan keputusan suruhanjaya itu, bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu juga tidak layak untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut yang akan diadakan pada 26 Januari ini

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, keputusan itu diambil seperti mana diperuntukkan di bawah akta dan peraturan berkaitan pilihan raya sedia ada.

“Datuk Sivarraajh dalam tempoh lima tahun dari 13 Disember 2018 tidak boleh Tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

“Beliau juga tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya dan SPR akan mengambil langkah sejawarnya sepertimana yang diperuntukkan dalam akta dan peraturan berkaitan pilihan raya sedia ada,” katanya dalam kenyataan itu di sini.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Bagaimanapun, calon DAP, M Manogran, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Kemenangan Sivarraajh sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands dalam PRU14 diisytiharkan tidak sah dan terbatal oleh Mahkamah Khas Pilihan Raya di Jalan Duta Kuala Lumpur pada 30 November lalu.

Tambah Azhar, penguatkuasaan itu dilaksanakan SPR setelah mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November 2018.

Malah katanya, SPR turut mengambil maklum perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36(2)(a) dan Laporan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], bertarikh 13 Disember 2018 serta pandangan undang-undang mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya [Akta 5].

Rentetan keputusan itu dan keputusan Sivarrajh yang tidak mengemukkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehingga 14 Disember lalu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas 19 Disember lalu dan mengumumkan PRK Cameron Highlands diadakan pada 26 Januari 2019 manakala penamaan calon pada 16 Januari 2019. – MalaysiaGazette