KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan yang banyak membuat pusingan U, kini ‘copy-paste’ dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dahulu selalu dikritik dan dimarahi.
Menurut beliau, ia jelas apabila DAP yang kerap mengecam keputusan BN membayar berbilion ringgit bagi pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi kerana tidak menaikkan kadar tol, kini turut membuat perkara yang sama.
Lebih ironi apabila Lim Guan Eng, yang juga pemimpin DAP berbangga apabila mengumumkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan membayar pampasan sebanyak RM1 bilion kepada syarikat-syarikat konsesi kerana kadar tol tidak dinaikkan pada tahun depan.
“Hari ini kita lihat kerajaan PH banyak membuat pusingan U dan ‘copy-paste’ dasar kerajaan BN yang mereka selalu kritik dan marah sebelum ini,” katanya sambil memaklumkan kebanyakan konsesi tol di negara hari ini telah diberi semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Najib berkata, keputusan PH itu bukan baharu kerana kerajaan BN tidak pernah menaikkan kadar tol selama 10 tahun kecuali pada tahun 2016 kerana ketika itu hasil negara mengalami tekanan akibat kejatuhan harga minyak dunia sebanyak 80 peratus ke tahap di bawah AS$30 setong.
Katanya, apabila setiap tahun tol tidak dinaikkan sepanjang sembilan tahun maka kerajaan BN perlu membayar pampasan.
Tol untuk lebuh-lebuh raya milik PLUS seperti Lebuh raya Utara-Selatan, jambatan Pulau Pinang dan NKVE
Malah kerajaan BN membeli balik sepenuhnya syarikat PLUS pada tahun 2011 dan kini syarikat konsesi itu dimilik 51 peratus oleh Khazaah Nasional dan 49 peratus oleh KWSP, sekali gus menguntungkan pencarum.
Najib berkata, berbeza dengan lebuh raya di Sarawak dan Sabah yang tidak bertol kerana ia dibina ketika pentadbiran beliau.
Jelasnya, setiap tahun kerajaan BN membayar pampasan, DAP marah dan menuduh mahu memperkayakan syarikat kroni tol.
“Saya dimarahi dan diserang setiap tahun oleh DAP apabila membayar pampasan. Saya juga dimarah pada akhir tahun 2015 kerana membenarkan kadar tol dinaikkan untuk tahun 2016.
“Saya dimarah lagi oleh DAP tahun lepas kerana membayar pampasan RM2.2 bilion untuk menghapuskan sepenuhnya empat tol di Johor, Selangor dan Kedah. Tiap-tiap tahun, DAP marah.
“Hari ini, PH sangat bangga dengan keputusan mereka untuk membayar pampasan RM1 bilion supaya kadar tol lebuh raya tidak naik tahun depan. Dan menariknya, Menteri Kewangan adalah dari DAP, parti yang menjadikan acara tahunan untuk marah pada saya,” tambahnya.
Secara sinis, Najib berkata, memang tidak sah jika PH tidak membuat U-turn.Tetapi jangan tajam sangat, nanti jadi V-turn pula. – MalaysiaGazette