Home Nasional Bersatu akan perjuang agenda bumiputera baharu – Muhyiddin

Bersatu akan perjuang agenda bumiputera baharu – Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memperjuangkan dasar agenda bumiputera dalam usaha memajukan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sendiri akan mencadangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan agar agenda itu dijadikan Dasar Teras Pakatan Harapan sekali gua diterima oleh Kabinet untuk dilaksanakan sebagai satu Agenda Nasional.

Beliau memberi jaminan agenda bumiputera yang baharu ini akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama atau equitable shared prosperity.

MGF28122018_PERASMIAN SRIKANDI DAN ARMADA PPBM 201812

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2018.“Menerusi kerangka baharu ini, semua rakyat akan dapat menikmati kemakmuran negara secara bersama di mana tidak ada mana-mana kumpulan rakyat yang ketinggalan.

“Kejayaan ekonomi tidak lagi akan diukur berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dan penghapusan jurang pendapatan antara kaum, kelas dan wilayah.

“Tumpuan dasar baharu ini ialah untuk mewujudkan kesamaan hasil (equal outcome) dan bukannya menyediakan kesamaan peluang (equal opportunities) semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Perhimpunan yang bermula hari ini hingga Ahad berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Lebih 1,000 perwakilan hadir melibatkan 99 bahagian Srikandi manakala 115 pula adalah Armada.

Muhyiddin menambah kesamaan peluang yang tidak membuahkan kesamaan hasil bukanlah satu dasar yang adil.

Beliau memberi contoh jika seorang individu mempunyai wang sebanyak RM10 dan rakannya memiliki RM100.

Jelas beliau, kedua-duanya diberikan peluang sama rata untuk menggandakan wang dengan masing-masing memperolehi 10 peratus keuntungan.

“Hasilnya, individu itu akan memperolehi keuntungan sebanyak RM1 dan rakannya RM10.

“Begitu juga jika kedua-duanya memperolehi keuntungan sebanyak 100%. Pendapatan saudara akan meningkat kepada RM20 dan rakan saudara RM200. Ini kerana saudara bermula dengan pendapatan yang rendah.

“Justeru, jika tumpuan hanya diberikan kepada menyediakan kesamaan peluang dan bukannya kesamaan hasil, lama-kelamaan jurang kekayaan antara saudara dan rakan saudara akan terus melebar,” katanya.

Muhyiddin menegaskan orang Melayu yang masih ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi mesti dibantu menerusi pelaksanaan satu dasar agenda bumiputera yang baharu bagi membolehkan mereka menikmati kemakmuran negara ini secara saksama.

“Ini termasuk usaha-usaha yang dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian ekonomi mereka dari segi peningkatan pendapatan isirumah, kemajuan dalam bidang kerjaya dan keusahawanan serta kenaikan dalam kadar gaji, nilai simpanan dan pemilikan aset,” katanya. – MalaysiaGazette