Dalam satu kenyataan hari ini, BNM menyebut, dokumen dasar itu berkuatkuasa 1 Januari 2019 dan terpakai kepada bank berlesen, bank pelaburan, bank Islam, penginsurans, pengendali takaful dan institusi kewangan pembangunan.
Keperluan itu terutamanya meliputi jangkaan terhadap lembaga pengarah dan pengurusan kanan berhubung pengurusan risiko penyumberan luar, ketekunan wajar penyedia perkhidmatan dan perjanjian tahap perkhidmatan, perlindungan kerahsiaan data serta perancangan kesinambungan perniagaan.
“Kenyataan maklum balas sudah dikeluarkan dengan dokumen dasar berkenaan untuk menyatakan pandangan bank mengenai beberapa bidang maklum balas,” kata BNM.
Institusi kewangan seharusnya mempunyai pengawasan dan kawalan yang kuat terhadap aturan penyumberan luar, seperti yang berlaku jika ia dilaksanakan secara dalaman, jelas BNM.
“Lembaga pengarah dan pengurusan kanan harus bertanggungjawab dalam memastikan pengawasan dan tadbir urus yang berkesan aturan penyumberan luar, disokong oleh rangka kerja pengurusan risiko penyumberan luar yang kuat dan memastikan kepatuhan terhadap undang-undang berkaitan, peraturan serta keperluan berhemat yang berkaitan dengan aktiviti penyumberan luar.
“Khususnya, lembaga pengarah dan pengurusan kanan mesti mengambil kira keupayaan institusi kewangan untuk memenuhi kewajipannya kepada pelanggan, termasuk keupayaan pelanggan mendapatkan ganti rugi dan memastikan konsistensi dengan pemulihan dan perancangan resolusi,” kata BNM.
Dasar ini juga menyatakan bahawa, lembaga pengarah juga mesti meluluskan pelan penyumberan luar, memperincikan aturan penyumberan luar yang dirancang institusi kewangan untuk tahun kewangan berikutnya, sebelum pelan berkenaan diserahkan kepada bank pusat.
“Dalam menilai pelan ini, lembaga pengarah mesti menyediakan mekanisme bagi memperoleh jaminan daripada pengurusan kanan bahawa keperluan yang diwujudkan di dalam dokumen dasar ini dipenuhi dengan sewajarnya,” tambah BNM. – MalaysiaGazette