PUTRAJAYA – Sesi perbahasan oleh perwakilan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi dimuatkan dalam jadual Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang masuk hari kedua hari ini.
Atur cara dimulakan dengan penyampaian ucapan dasar Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun pada perhimpunan masing-masing.
Perhimpunan bermula pada sebelah pagi sebelum kedua-duanya menyampaikan ucapan penggulungan pada sesi petang.
Bagaimanapun, sesi perbahasan oleh perwakilan itu dijalankan secara tertutup.
Tumpuan perwakilan akan beralih pada sebelah malam di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) apabila Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucapan dasarnya pada PAT kali kedua parti berkenaan.
PAT yang berlangsung selama tiga hari dan akan berakhir esok merupakan perhimpunan pertama selepas penubuhan kerajaan Pakatan Harapan susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei lalu. – MalaysiaGazette