Home Politik Srikandi mahu isi kemenangan PRU tingkat kecekapan kerajaan, parti

Srikandi mahu isi kemenangan PRU tingkat kecekapan kerajaan, parti

Rina Harun
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Srikandi Bersatu mahu mengisi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dengan meningkatkan kecekapan urus tadbir kerajaan dan parti.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Memperkasa modul pendidikan dan menaik taraf ekonomi golongan wanita merupakan perkara yang menjadi fokus gerakan itu.

“Maka saya ingin menggariskan bahawa Pendidikan adalah asas kegemilangan sesuatu Bangsa dan sesebuah Negara.

“Oleh kerana budaya masyarakat Melayu yang mana seseorang ibu lebih mengambil berat tentang kelangsungan pendidikan anak-anak maka saya berazam agar Modul Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang melibatkan lebih 220,000 anak-anak di bawah 6 tahun diformulasikan semula berasaskan budaya Hikmah, Hasanah dan Amanah.

“Saya berharap agensi kerajaan khususnya Kemas dan Mara akan memulakan perubahan ini secara komprehensif dan bersepadu dalam jangka waktu tiga tahun ini. Semoga generasi akan datang menjadi generasi hebat dan berbudaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Srikandi pada Perhimpunan Srikandi di PICC di sini hari ini.

Menurut Rina lagi, agenda bumiputera sejak sekian lama perlu diberi penekanan kerana kepentingannya kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

Katanya, Bersatu memainkan peranan dalam usaha membangun orang Melayu supaya bahagian mereka dalam negara ini terpelihara.

Dalam pada itu kata beliau, bidang keusahawan dilihat sebagai salah satu penyelesaian tepat dalam memecah kepompong kemiskinan dan kemunduran.

Justeru katanya, dibawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), orang Melayu telah diberi banyak peluang dan bantuan supaya mereka dapat meningkatkan kejayaan mereka dalam perniagaan dan perusahaan.

“Namun itu bukanlah bermakna kita boleh merasa selesa.

“Keperluan mengurangkan jarak ekonomi antara kaum perlu diteruskan,” ujarnya. – MalaysiaGazette