Home Politik DAP umum calon Cameron Highlands 10 hari lagi

DAP umum calon Cameron Highlands 10 hari lagi

M.Kula Segaran
M.Kula Segaran

IPOH – DAP dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam masa sepuluh hari lagi.

Naib Presiden DAP, M. Kula Segaran berkata, perkara itu akan diumumkan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

“Kerusi parlimen itu adalah kerusi (tradisi) DAP seperti yang telah diputuskan oleh (pimpinan) Pakatan Harapan (PH) dan kita akan umumkan calon selepas Setiausaha Agung (Lim) mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan.

“Mulai esok saya bersama-sama (Penasihat DAP) Lim Kit Siang akan mengadakan siri jelajah yang pertama di sekitar kawasan perkampungan Orang Asli di Ringlet dan berharap penduduk di Cameron Highlands memberi sokongan yang kuat kepada PH supaya kita dapat mengambil alih kerusi tersebut,” katanya.

Kula Segaran yang juga Menteri Sumber Manusia dan Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan kalendar 2019 kepada orang ramai di Pasar Awam Kampung Tawas di sini hari ini.

Pada 4 Jun lepas, calon DAP M. Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 pada 9 Mei lepas bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Datuk C. Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Sivarraajh yang merupakan Naib Presiden MIC itu tidak layak bertanding dalam PRK berkenaan yang bakal diadakan pada 26 Jan tahun depan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata perkara itu diputuskan selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu, serta Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2) (a).

Katanya, SPR juga telah meneliti Laporan Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertarikh 13 Dis lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5.

“Dalam tempoh lima tahun bermula 13 Dis 2018, Sivarraajh tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya, dan tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya,” kata Azhar Azizan dalam satu kenyataan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR dengan 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi). – MalaysiaGazette