Home Politik Rakyat Johor tiada masalah penglibatan institusi kesultanan dalam pentadbiran, kehidupan – Hasni

Rakyat Johor tiada masalah penglibatan institusi kesultanan dalam pentadbiran, kehidupan – Hasni

Ketua Pembangkang Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu berhubung perkara itu biar pun mahu menunaikan janji yang dibuat Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor tidak berdepan sebarang masalah dengan penglibatan institusi Kesultanan Johor dalam pentadbiran, kehidupan mahu pun suasana kemasyarakatan di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, apa yang ditulis menerusi media sosial yang menyentuh tentang institusi Kesultanan Johor jelas menunjukkan pihak yang terlibat tidak memahami peranan dan tanggungjawab Sultan Johor serta Tunku Mahkota Johor terhadap rakyat negeri ini.

Beliau berkata, peranan institusi diraja atau Kesultanan Johor mempunyai caranya tersendiri dan rakyat berbangga dengan adanya Undang-Undang Tubuh Johor yang jelas menyatakan kewujudan institusi Kesultanan Johor.

“Rakyat Johor tiada sebarang masalah dengan penglibatan Sultan Johor atau Tunku Mahkota Johor dalam pentadbiran negeri, kehidupan atau suasana kemasyarakatan di negeri ini.

“Jadi, apa yg ditulis yang menyentuh institusi diraja Johor itu jelas menunjukkan mereka tidak faham peranan dan tanggungjawab Sultan dan TMJ (Tunku Mahkota Johor) terhadap rakyat Johor. Kita di Johor tidak pernah mempersoalkan peranan dan kehadiran institusi diraja dalam rakyat,” katanya.

Hasni yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, demikian kepada pemberita selepas menghadiri program larian ‘Tok Uban Fun Run (TUFR) 2018’ anjuran UMNO Bahagian Johor Bahru, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menerusi kenyataan di laman Facebook, semalam, yang menyarankan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya turun dari singgahsana dan masuk ke gelanggang politik secara sepenuh masa sekiranya gemar membuat kenyataan-kenyataan berbaur politik. -Bernama