KUALA LUMPUR – Pemain sayap skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid diumumkan sebagai pemain baharu juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pengumuman itu dibuat melalui rakaman video yang dimuat naik di laman facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers sebentar tadi sambil memaparkan penampilan Akhyar dengan kapsyen “Welcome To JDT”.
Akhyar yang mewakili skuad Kedah musim ini merupakan satu-satunya pemain tempatan yang diumumkan menyertai JDT setakat ini selepas mereka mengesahkan kemasukan dua pemain import baharu iaitu Aaron Niguez dan Mauricio Dos Santos Nascimento.
Perpindahan Akhyar kali ini berlangsung dalam suasana cukup kontroversi dan penuh drama.
Sebelum ini Perlis FA secara terbuka menyatakan minat mereka apabila cuba melamar bintang muda Kedah itu.
Namun mereka terpaksa melupakan khidmat Akhyar kerana kekangan kewangan.
Malah, beberapa hari lalu, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan mereka sedang berunding dengan Akhyar Rashid yang dikatakan sudah menjadi ejen bebas.
Ini kerana selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status mereka yang membenarkan Akhyar Rashid menebus kontraknya dengan nilai RM210,000.
Namun, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tampil dengan kenyataan mereka mahu mencabar keputusan FAM dengan mengemukakan rayuan. Menurut KFA, keputusan FAM itu tidak adil kerana mereka masih ada hak ke atas pemain yang ada kontrak dengan mereka.
KFA juga mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran pampasan kontrak dan Akhyar dikehendaki melapor diri pada sesi latihan mereka kerana masih menjadi milik pasukan itu sehingga November 2019. Mereka juga akan membawa kes ini mahkamah timbang tara sukan. – MalaysiaGazette