GEORGE TOWN – Warkah dari Cordoba yang ditulis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar adalah kata-kata ikhlas daripada seorang senior kepada juniornya, tambahan pula keduanya mempunyai hubungan rapat ibarat keluarga.
Menurut Mujahid, bapanya, Yusof Rawa yang merupakan seorang orang kuat Pas mempunyai hubungan erat dengan Presiden PKR yang juga ayah kepada Nurul Izzah sejak sekian lama.
Dengan itu, beliau sama sekali tidak menyangka Warkah dari Cordoba yang dicoretkan dengan kata-kata berbunga itu menjadi tular di media-media sosial.
“Saya tidak tahu surat tersebut akan menjadi tular kerana saya menulisnya dengan ikhlas, iaitu sepucuk surat daripada seorang senior kepada juniornya.
“Saya menulis warkah berkenaan apabila terkejut melihat Nurul Izzah yang sedang bersinar di dalam politik membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.
“Lagipun, ini bukan kali pertama saya menggunakan bahasa sastera seperti ini.
“Sesiapa di Parlimen tahun saya suka berpantun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Mujahid, beliau sudah lali diusik netizen berhubung warkah berkenaan dan mendapati troll-troll sedemikian adalah satu perkara yang menarik.
“Netizen sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada saya sebab sekarang semua orang menggunakan “kanda” dan “dinda,” katanya lagi.
Ketika ditanya apakah puteri sulung Anwar itu sudah membalas surat berkenaan, Mujahid berkata: “Biarlah rahsia.”- MalaysiaGazette