KUALA LUMPUR – Kebiasaannya rombongan pengantin akan dikelilingi sanak saudara di kampung masing masing.
Namun berbeza dengan majlis persandingan Inspektor Nur Raifana Samsudin dan 19 pasangan anggota polis yang diadakan hari ini secara beramai-ramai menerusi program Mahligai Cinta tajaan Bank Muamalat.
Selain daripada bersanding majlis akad nikah juga diadakan secara beramai-ramai dan sudah pasti beliau dan pasangannya, Mohd Firdaus Jamil juga akan mengingatinya sepanjang hayat mereka
Itu luahan Nur Raifana yang berkhidmat sebagai pegawai Pentadbiran Forensik di Maktab Polis Diraja Malaysia, Batu 9 Cheras yang disatukan dengan seorang pegawai teknologi maklumat sektor swasta.
Kata Nur Raifana, pada awalnya beliau bersama tunangnya merancang untuk mengadakan kenduri di kampung halaman mereka dan bercadang berbincang dengan jururunding perkahwinan.
“Kami merancang melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan.
“Tapi tiba-tiba datang peluang Bank Muamalat sebagai penaja hendak menaja Majlis Raja Sehari perkahwinan 20 pasangan pegawai warga PDRM.
“Saya rasa terkejut dan tiada kata-kata, terus diterima untuk melangsungkan perkahwinan tanpa mengeluarkan satu sen pun kecuali RM450 yang dibayar untuk kadi melangsungkan akad nikah di Masjid Pulapol pagi ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Tambah Nur Raifana, istiadat naik pelamin bersama anggota PDRM lain yang mengenakan uniform polis menjadi memori terindah untuk diri dan suaminya.
Menurutnya, tindakan penaja yang menyediakan Bas Hop On Hop Off dengan membawa kesemua 20 pasangan mengelilingi ibu kota selepas akad nikah pagi tadi pasti akan diingati beliau sepanjang hayat.
“Lebih manis sekali, Bank Muamalat telah menaja bulan madu kami dan menyediakan penginapan percuma di Hotel Boulevard di Mid Valley.
“Ini sesuatu yang baharu bagi pasangan baharu seperti kami ini kerana kebiasaaanya nikah rombongan persandingan dan perkahwinan kita buat di kampung kami.
“Tapi hari ini bukan sekadar dikelilingi ibu bapa, ahli keluarga dan sanak saudara sahaja, kami dikejutkan dengan kehadiran Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan juga pegawai pegawai kanan serta Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.
“Lebih bermakna kami gembira ia membantu meringankan keadaan kami yang memikirkan mengenai kos perbelanjaan yang perlu ditanggung jika diuruskan sendiri, penaja kita (Bank Muamalat) menyerikan perkahwinan kami dengan kenangan terindah,” tegasnya.
Sementara itu, Mohamad Fuzi juga mengalu-alukan hasrat Bank Muamalat yang bercadang untuk menjadikan Raikan Cinta Raja Sehari Warga PDRM sebagai acara tahunan mulai 2019.
“Kalau penaja bersedia dan dana mengizinkan, InsyaAllah kita boleh uruskannya..
“Ini kali pertama dibuat tahun ini, dan 20 pasangan yang merancang naik pelamin telah dibincangkan sebelum melangsungkan perkahwinan mereka di sini.
“Dalam keadaan ekonomi semasa, program ini amat membantu dan meringankan beban kewangan pasangan muda untuk melangsungkan perkahwinan dengan tajaan mengikut impian mereka,” katanya. – MalaysiaGazette