PUTRAJAYA – Kaum Melayu dan bumiputera perlu merenung kembali pengamalan cara hidup yang pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini.
Langkah itu perlu dilakukan, kerana pada masa ini kaum tersebut dilihat telah ketinggalan dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi, pesan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Justeru, kaum Melayu dan bumiputera tidak tidak boleh menafikan bahawa mereka kini ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.
“Di negara ini, Melayu dan bumiputera ketinggalan kita tidak boleh nafi hakikat itu. Di negara ini, kita sanggup berkongsi negara dengan kaum lain untuk mereka bermastautin di negara kita.
“Yang anehnya, kita sekarang ini tidak setaraf dengan mereka ketinggalan dalam macam-macam bidang khususnya ekonomi.
“Kenapakah mereka berjaya dan kita tidak berjaya? Kita boleh salahkan orang lain kerana menghalang, menipu kita dan sebagainya tetapi orang lain tidak akan betulkan diri mereka, supaya mereka boleh berjaya.
“Yang boleh menjayakan diri kita ialah kita sendiri. Untuk itu kita perlu tahu apakah kesalahan dan kelemahan yang ada kepada kita,” katanya.
Mahathir berkata demikian ketika hadir meninjau perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke dua yang telah berlansung dua hari, di Pusat Konvensyen Antarabangsaa (PICC) Putrajaya hari ini.
Beliau dijemput memberikan ucapan khas oleh Armada Bersatu hari ini sebelum pada sebelah malam nanti.
Mahathir yang juga Perdana Menteri membuat ucapan dasar sempena perhimpunan yang akan berakhir esok.
Ujarnya, banyak kesalahan telah dilakukan oleh pemerintah terdahulu yang berkuasa menerajui negara dan diterajui oleh orang Melayu.
“Sebenarnya, banyak kesalahan yang ada pada kita. Bagaimana sebuah parti bumiputera Melayu yang ditubuh 60 tahun dulu sekarang sudah tidak ada kerana mengamalkan sifat yang mengadaikan segala usaha.
“Mereka tidak berusaha menjayakan negara dan orang Melayu setaraf kaum lain sebaliknya mereka berpendapat peluang yang diberikan kepada mereka hanya untuk perkayakan diri sendiri.
“Hari ini, rakyat tolak mereka bulat-bulat. Kita juga daripada jenis sama. Kalau kita terperangkap dengan sikap yang ada pada mereka kita juga akhirnya akan tersungkur dan tersingkir,” ujarnya. – MalaysiaGazette